Selasa, 23 April 2019 | 9:24pm
Kumpulan K-Pop terkenal Korea Selatan, BTS. - Foto EPA

Kumpulan K-Pop, BTS datang Malaysia 2020

PUTRAJAYA: Peminat kumpulan K-Pop terkenal Korea Selatan, BTS mungkin berpeluang menyaksikan sendiri persembahan kumpulan itu di negara ini, tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan, pihaknya dalam usaha membawa masuk kumpulan itu ke Malaysia tahun depan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Mengenai perkara itu, saya sudah berjumpa dengan ‘promoter’ berkaitan BTS, dan kita dalam fasa rundingan, dan usaha kami untuk pastikan BTS datang ke Malaysia pada 2020 sempena ‘Visit Malaysia 2020’.

“Ini (kemasukan BTS ke Malaysia) saya sudah pertangunggjawabkan kepada Tony Fernandes (Pengerusi Perdanan Stadium Malaysia) dan itu adalah salah satu KPI beliau,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan kehadiran kumpulan muzik luar negara ke Malaysia bukan bertujuan untuk melalaikan generasi muda, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai satu pelaburan yang menguntungkan buat negara.

Katanya, industri hiburan Malaysia mencatatkan keuntungan kira-kira AS$4 bilion selain menarik lebih 250,000 pengunjung ketika penganjuran MotoGP baru-baru ini.

“Sebagai contoh, baru-baru ini kita adakan konsert hiburan terbesar Ed Sheeran yang mana 45,000 orang hadir dan dalam tempoh tiga hari tiket habis dijual dan ia dijalankan sangat baik.

“Apabila mereka (penganjur) melihat kemampuan kita mengadakan (konsert), banyak yang berminat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya komited menjadikan Perbadanan Stadium Malaysia (PMS) sebagai hub industri hiburan yang bakal memberi pulangan kepada negara.

Terdahulu, Fernandes mengeluarkan kenyataan di laman Twitter rasminya bahawa beliau sedang berkerja keras bagi merealisasikan impian BTS Army.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia berkata, pihaknya sedang berhubung dengan pihak syarikat hiburan, Live Nation dan setakat ini masih belum mempunyai kata putus untuk tarikh kedatangannya.

2353 dibaca
Berita Harian X