Selasa, 23 April 2019 | 4:03pm
Ahmad Idham merasmikan Perkampungan Filem Sabah (KDMFM) di Kampung Sukod, Penampang. - Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

FINAS bantu pembangunan industri seni kreatif di Sabah

PENAMPANG: Penggiat industri seni kreatif di negeri ini bakal menerima dana terbaharu daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) bagi memastikan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan sektor itu.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata pemberian dana itu ialah antara usaha pihaknya memastikan industri berkenaan di Sabah tidak diketepikan atau bergerak tanpa hala tuju.

“Kita ada perancangan memberi dana terbaharu, iaitu dana kandungan digital di mana peruntukan akan diberi kepada Sabah secara lebih spesifik.

“Kita juga meletakkan beberapa kriteria supaya dapat memberi peluang kepada penggiat seni yang berpusat dan ada syarikat di sini (Sabah) sebagai usaha membantu serta menggalakkan pembangunan industri kreatif di negeri ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Perkampungan Filem Sabah (KDMFM) di Kampung Sukod, di sini, hari ini.

Bagaimanapun ketika ditanya jumlah dana diberikan FINAS itu, beliau berkata, anggaran peruntukan bergantung pada kreativiti penggiat seni di negeri ini.

“Anggaran jumlah kita tidak dapat beritahu kerana saya tidak boleh mengehadkan kreativiti mereka. Jika datang (karya) banyak dari Sabah, mungkin kita memberikan dana itu lebih banyak daripada Semenanjung. Kita akan melihat betapa bagus karya atau cadangan untuk melayakkan mereka menerima dana itu.

“Bagi saya, biar karya yang berbicara kerana jika ia bernilai, duit (dana) akan datang menyusul,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Idham turut mengharapkan kerjasama semua penggiat seni terbabit untuk memajukan industri kreatif di negeri ini.

“Seperkara yang saya rasa penggiat seni di Sabah boleh mulakan untuk membantu FINAS ialah mewujudkan sebuah kesatuan sebagai wakil kepada FINAS.

“Ia adalah supaya saya dapat memantau secara rapat kerana saya tidak boleh bercakap dengan semua presiden persatuan. Justeru, saya berharap dapat dihantar satu wakil kesatuan untuk membuat laporan dan mengemas kini apa berlaku di Sabah.

“Saya percaya suatu kerja akan menjadi lebih mudah jika kita bergabung menjadi satu suara. Sekiranya semua penggiat seni di Sabah bersatu, ia akan menjadi lebih kuat,” katanya.

Beliau berkata, Sabah memiliki potensi besar dalam industri kreatif dengan pelbagai peluang boleh dikembangkan.

Katanya, ia bukan hanya mewujudkan peluang pekerjaan bagi mereka di sebalik tabir dan di hadapan kamera tetapi juga dalam bidang perniagaan industri berkenaan.

“FINAS bukan penghukum, sebaliknya kita mahu membantu dan menyokong industri tempatan,” katanya.

150 dibaca
Berita Harian X