Isnin, 4 Februari 2019 | 2:57pm
Deqsha dan Sheila mahu mengangkat martabat dunia solekan dengan menganjurkan program mencari jurumekap pelapis, MMA 2019, Ogos depan. Foto Ihsan blackpepperproduction

Anak muda pandai mekap dicari

KUALA LUMPUR: Di sebalik kilauan glamor, siapalah artis tanpa jurusolek.

Buat kali pertama, program pencarian jurusolek pelapis yang mendapat sokongan artis jelita yang sering mendapat sentuhan jari emas si tukang mekap, akan dianjurkan di ibu negara, Ogos depan.

Pertandingan Malaysia’s Makeup Artist (MMA) 2019 bakal menyediakan platform buat anak muda yang berhasrat menceburi dunia kecantikan dengan menjadi pakar penghias wajah selebriti dan personaliti, bersaing mempertaruhkan bakat.

Acara yang akan diadakan di Hotel Sunway Putra, di sini, pada 28 Ogos depan diusahakan dua jurusolek artis terkenal, Sheila Mohamad dan Deqsha.

Sheila memberitahu, MMA 2019 mendapat sokongan barisan artis tempatan termasuk mereka yang bersetuju membuat persembahan pada acara itu.

“Kita sedar dalam dunia hiburan, hubungan artis dan jurusolek bagaikan isi dan kuku. Kami sama-sama menyokong dan memartabatkan industri seni.

“Apabila ada rakan artis popular yang mahu memberi sokongan, ia bagaikan nikmat yang sangat indah,” katanya kepada BH Online.

Sheila berkata, acara itu akan diserikan dengan kehadiran artis popular seperti Rozita Che Wan, Erra Fazira dan model dari Indonesia, Whulandary.

“Whulandary akan menjadi juri bersama jurusolek terkenal antaranya Nurul Shukor, Khir Khalid, Datin Saidatulnisa, Syedewa dan Fendi Sani,” katanya sambil menambah sidang akhbar mengumumkan projek itu akan diadakan pada 28 Mac depan di lokasi sama.

Sheila berkata, MMA 2019 dianjurkan bagi memartabatkan bidang solekan sebaris dengan industri kreatif lain.

“Kita juga mahu menjadikan acara ini sebagai hab dalam mengetengahkan produk kosmetik tempatan sebagai antara pengisian acara ini,” katanya yang sudah 25 tahun berkecimpung dalam bidang solekan dan tatarias.

Sementara itu, Deqsha berkata, lebih 200 penyertaan diterima memberi petanda acara itu bakal meninggalkan impak besar.

“Namun, kami hanya mampu memberikan ruang kepada 40 jurusolek pelapis untuk bersaing,” katanya.

Bercerita lanjut, Deqsha berkata, pada mulanya dia dan Sheila masing-masing ada perancangan sendiri untuk acara itu.

“Sheila mahu anjurkan tahun depan, saya pula fikir lebih baik tahun ini.

“Selepas berbincang, kami merasakan lebih baik anjurkan sekarang berikutan beberapa perkara seperti lokasi acara dan hal-hal lain sudah diputuskan,” katanya.

654 dibaca
Berita Harian X