Ahad, 3 Februari 2019 | 9:31am
ARA dan Siti Sarah antara bintang yang bakal menghangatkan pentas AJL 33, malam ini. - Foto IG Ara dan Siti Sarah

AJL 33: Lagu dendangan Ara, Sarah mampu cipta kejutan

KUALA LUMPUR: Saat ini, tentunya penggemar dunia seni tanah air ligat berteka-teki mengenai karya bakal diangkat sebagai pemenang pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33, yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, malam nanti.

Menyaksikan persaingan 12 karya di pentas akhir, anugerah muzik paling lama bertahan itu juga pastinya hangat dengan penampilan bintang baharu dan lama, yang sudah tentu mahu memastikan dendangan masing-masing menyerlah apabila tirai AJL 33 disingkap, beberapa jam lagi.

Bukan setakat mahu memberikan keadilan kepada karya diwakili, malah aksi mereka juga akan menentukan sama ada trofi persembahan dan vokal terbaik dapat dimiliki.

Lagu yang berpeluang merebut gelaran juara kali ini adalah Semakin dendangan Siti Sarah; Bunga (Ara Johari); Kau Pun Sama (Syamel); Sampai Bila (Misha Omar); Haram (Hael Husaini & Dayang Nurfaizah); dan Luluh (Khai Bahar).

Tidak ketinggalan untuk mencipta tuah ialah Bunga nyanyian Altimet (bakal dipersembahkan oleh De Fam pada saingan akhir); Jatuh Bangun (Haqiem Rusli ft Amanra); Tak Pernah Hilang (Amylea & Kaer); Hajat (Hael Husaini); Di Matamu (Sufian Suhaimi); dan Nisan Cinta (Siti Nordiana & Jaclyn Victor).

Tumpuan tentunya terarah kepada beberapa karya yang bukan sahaja dikira kuat dari segi melodi dan lirik, malah turut dinyanyikan artis yang memiliki vokal mantap.

Semakin ciptaan Shuib yang juga suami kepada penyanyinya dipilih sebagai lagu terbaik ketika berentap minggu pertama separuh akhir Muzik Muzik 33. Ia umpama memberikan bayangan awal, lagu balada itu tidak boleh dipandang sebelah mata kerana juri sudah memberikan markah yang baik untuk karya berkenaan berada di barisan depan dalam persaingan.

Kombinasi suami isteri terbabit nyata membuahkan hasil memberangsangkan apabila Semakin bukan sekadar sebuah karya yang dianggap bermutu, biarpun ada dakwaan menyamakannya dengan dendangan dari seberang, malah ia juga antara lagu digemari peminat.

Sarah sendiri mencipta sejarah peribadi apabila buat julung kali layak ke pentas AJL selepas 17 tahun menjadi anak seni. Justeru, peluang keemasan berkenaan pastinya tidak mahu dilepaskan begitu sahaja. Paling tidak, biarlah impak penampilan sulung pada saingan akhir meninggalkan kesan mendalam di hati juri dan peminat.

Bunga hasil ciptaan Hang Nadim, Laq dan Kadok nyanyian Ara, yang diumumkan sebagai lagu terbaik pada minggu kedua separuh akhir pula mungkin memberikan peluang untuk Akim Ahmad sekali lagi naik ke pentas menjulang trofi utama terbabit.

Malah, ia juga dilihat peluang terbaik untuk Ara menunjukkan kemampuan sebenar sebagai penyanyi. Andai kesihatannya dalam keadaan sempurna, tidak mustahil penyanyi wanita ini turut memenangi kategori vokal, malah persembahan terbaik.

Ramai yang masih ingat bagaimana dia gagal menunjukkan persembahan mantap ketika bersaing pada edisi lalu. Diganggu masalah kesihatan, Ara tidak berupaya menonjolkan kemampuan sebenar ketika mempersembahkan Warkah Untukku, juga ciptaan Akim atau Hang Nadim dan Laq.

Jadi, jika dia mampu mengawal suara saat menyampaikan karya yang bernada tinggi terbabit dengan sebaiknya, maklum sahaja Bunga memang lagu yang mencabar sekali, ruang buat Ara dan komposernya mencipta gemilang terbentang luas, malam ini.

Sebuah lagi karya yang dianggap pilihan untuk dinobatkan sebagai juara adalah Sampai Bila, karya ciptaan Sharon Paul bersama penulis lirik, Fedtri Yahya dan Shah Shamsiri.


MISHA Omar cukup dikenali dengan persembahan yang mampu memukau penonton. - Foto Zunnur Al Shafiq

Bagai mencipta fenomena sendiri menerusi kemunculan lagu berkenaan, selepas agak lama tanpa dendangan solo, Misha bukan sekadar menyaksikan kebangkitan semula dirinya di arena muzik kompetitif, malah karya indah menusuk kalbu itu disebut-sebut sebagai calon kegemaran ramai, yang diramal membolehkan penyanyi kelahiran Kelantan itu mengulangi pencapaian hebat pada AJL 18.

Pada pertandingan diadakan pada 2003 itu, Misha bukan sekadar menyaksikan karya ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, Bunga Bunga Cinta, nyanyiannya diumumkan sebagai juara kategori Balada dan keseluruhan, malah dirinya sendiri diangkat sebagai pemenang Vokal Terbaik.

Malam ini, semua mata pasti tertumpu kepada wanita berusia 37 tahun itu saat dirinya memukau penonton dengan vokal dan penghayatan tiada tolok bandingnya.

Namun, usah dilupa beberapa lagi lagu hebat lain yang sama-sama mahu mencuri tumpuan pada saingan kali ini. Bunga hasil ciptaan Omar K, John Jeevasingam dan Altimet dilihat berupaya untuk mencipta kejutan kerana selain hakikat ia sebuah dendangan popular, liriknya juga dirasakan cukup dekat dengan masyarakat.

Cuma, malam nanti, bukan Altimet yang mempersembahkan karya berkenaan di pentas akhir, sebaliknya tugas itu diserahkan kepada trio De Fam. Jika segala-galanya menjadi, kumpulan penyanyi wanita berkenaan mungkin membawa balik trofi Persembahan Terbaik.


AMYLEA dan Kaer ketika menjayakan konsert Prelude AJL 33 di KL Live. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Peluang turut terbuka untuk Tak Pernah Hilang, karya Farouk Roman dan Amylea Azizan untuk mencipta gemilang. Biarpun bukanlah lagu yang dianggap menguji kehebatan vokal si penyanyi, namun ia karya sangat indah, apatah lagi disokong keserasian suara serta penghayatan jitu Amylea bersama Kaer Azami.

Sama-sama kita nantikan keputusannya, apabila AJL 33 dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena Bukit Jalil menerusi TV3, mulai jam 9 malam ini.

1612 dibaca
Berita Harian X