Sabtu, 2 Februari 2019 | 4:15pm
KUMPULAN Search akan menghangatkan AJL 33 apabila tampil sebagai aksi pembuka tirai. - Foto Luqman Hakim Zubir

Gandingan bintang baharu, lama hangatkan AJL 33

KUALA LUMPUR: Gandingan artis baharu dan lama diyakini mampu menambat hati penonton apabila Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, esok.

Penerbit Eksekutifnya, Nurhul Huda Khalid, berkata kumpulan rock ‘otai’, Search, bakal membuka tirai acara dengan persembahan tiga lagu medley.

“Selain itu, segmen penaja akan menyaksikan gandingan tiga artis muda, Ismail Izzani, Nabila Razali dan Sarah Suhairi menyanyikan lagu Seribu Impian.

“Artis lain yang akan turut memeriahkan persembahan termasuk kumpulan Nico G, Juzzthin, Balan, Lil J, Zizi Kirana, Aman Ra, Joe Flizzow, SonaOne dan Alif,” katanya ketika ditemui pada acara praraptai AJL 33, di sini hari ini.

Masih mengekalkan hos edisi lalu, Sherry Alhadad dan Alif Satar, Nurhul Huda percaya keserasian antara kedua-dua artis terbabit mampu menghangatkan lagi suasana.


ALIF Satar dan Sherry Alhadad bakal mengacarakan AJL 33. - Foto Zunnur Al Shafiq

“Sejak tahun lalu, mereka berjaya mencetuskan aura yang diingati sehingga sekarang. Jadi, kita mengharapkan magis kedua-duanya berterusan pada malam esok,” katanya.

Dijangka 6,000 penonton bakal memenuhi Axiata Arena, katanya, AJL kali ini dipersembahkan seperti sebuah konsert mega membabitkan artis bertanding dan penyanyi undangan.

“Ia bukan sekadar menonjolkan 12 lagu terbaik yang dipersembahkan barisan penyanyi hebat, baharu dan lama, malah turut dimantapkan kemunculan bintang yang menyerikan segmen interlude,” katanya.


SYAMEL akan turut berentap dengan mempertaruhkan lagu Kau Pun Sama. - Foto Mohamad Shahril Badri

Dalam pada itu, Nurhul Huda memuji inisiatif artis bertanding dalam mewarnakan lagi corak persembahan masing-masing.

AJL 33 menggunakan khidmat hampir 1,000 tenaga kerja secara keseluruhan.

Petang ini, bermula jam 5.30 petang, TV3 akan menyiarkan program Debaran AJL 33 yang dihoskan Haziq Hussni.


MISHA turut menjadi mangsa komen tidak bertanggungjawab pengikut media sosial. Foto Aziah Azmee

Anugerah yang ditunggu ramai penggemar seni hiburan itu akan berlangsung jam 9 malam esok dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran sama.

Senarai giliran persembahan AJL 33:

1) Luluh (nyanyian Khai Bahar)

2) Jatuh Bangun (Haqiem Rusli ft Aman Ra)

3) Kau Pun Sama (Syamel)

4) Tak Pernah Hilang (Kaer dan Amylea)

5) Hajat (Hael Husaini)

6) Nisan Cinta (Siti Nordiana & Jaclyn Victor)

7) Di Matamu (Sufian Suhaimi)

8) Bunga (De Fam)

9) Semakin (Siti Sarah)

10) Bunga (Ara Johari)

11) Haram (Hael Husaini & Dayang Nurfaizah)

12) Sampai Bila (Misha Omar)

2626 dibaca
Berita Harian X