Khamis, 31 Januari 2019 | 6:38pm
GANDINGAN Remy Ishak dan Mira Filzah mencetus fenomena Pujaan Hati Kanda. Foto Aziah Azmee

Pujaan Hati Kanda raih 12 juta tontonan

KUALA LUMPUR: Drama bersiri Pujaan Hati Kanda yang menggandingkan Remy Ishak dan Mira Filzah meraih jumlah tontonan terkumpul 12 juta sejak disiarkan TV3 pada 20 Disember lalu.

Malah, episod akhir yang menemui khalayak pada Isnin lalu diikuti kira-kira lima juta penonton, selain meraih 30 juta tontonan menerusi platform, YouTube @TV3Malaysia!.

Pengurus Besar, Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Siti Nurlisia Mohd Nadzri, berkata setiap watak dan perwatakan menjadi tarikan hingga drama itu mendapat tempat di hati ramai.

“Penonton tidak hanya memperkatakan mengenai karakter Danny, Tiara atau Nadine, malah setiap watak mempunyai keistimewaan tersendiri yang membuatkan setiap episod begitu dinantikan.

“Dua watak antagonis iaitu Pali yang digalas Syazwan Zulkifli dan Kak Su (Reen Rahim) turut tular apabila menimbulkan kemarahan penonton.

“TV3 berbangga apabila Pujaan Hati Kanda mendapat sambutan tidak hanya menerusi skrin televisyen, sebaliknya turut menjadi ikutan di platform maya.

“Terima kasih diucapkan kepada penonton setia yang sentiasa memberi sokongan terhadap drama Melayu yang disiarkan TV3,” katanya dalam satu kenyataan media.

Selain Remy, Mira, Syazwan dan Reen, drama adaptasi novel itu turut membariskan Sarah Hildebrand, Azar Azmi, Dian P Ramlee, Elisya Sandha dan Aida Khalida.

3286 dibaca
Berita Harian X