Jumaat, 25 Januari 2019 | 6:29pm
PENGASAS Positive Music 4 Positive Peole (PM4PP), Saiful Azlan Freezailah pada majlis sidang media Remembering Zaibo di Oasis Village, Ara Damansara. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Adik angkat anjur acara amal bantu keluarga Zaibo

PETALING JAYA: Ralat tidak berkesempatan membantu Allahyarham Zaibo ketika hayatnya, Pengasas Positive Music 4 Positive People (PM4PP), Saiful Azlan Freezailah, 42, menganjurkan persembahan amal mengingati pelawak terbabit di The Space, Oasis Village, esok.

Saiful yang juga adik angkat artis berkenaan berkata, persembahan Remembering Zaibo itu diadakan dengan matlamat mengumpul dana bagi membantu keluarga arwah.

“Saya mengenali arwah sejak kecil, tetapi kami terpisah selama beberapa tahun apabila saya mengikuti keluarga ke Jepun. Apabila mengetahui keadaan arwah pada Oktober tahun lalu, saya cuba menghubungi keluarganya, tetapi gagal.

“Kemudian, saya dimaklumkan arwah sudah meninggal ketika saya merancang untuk membantunya. Berikutan itu, saya teruskan juga niat berkenaan dengan mengadakan persembahan amal ini,” katanya kepada BH Online.

Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abdul Hamid meninggal dunia pada 14 November tahun lalu akibat penyakit kanser esofagus.

Pelakon watak Pak Selamat dalam sitkom Spanar Jaya itu meninggalkan isteri, Siti Hawa Sawal, 52, dan sembilan anak, termasuk empat yang masih bersekolah.

Kata Saiful, persembahan amal terbabit turut disokong oleh Siti Hawa dan keluarganya.

“Beliau ada memberitahu saya, arwah menyimpan impian untuk memiliki galeri mini sebagai kenangan 40 tahun dirinya dalam bidang seni. Sumbangan kami peroleh nanti mungkin dapat membantu merealisasikan impian arwah.

“Selain itu, semua sumbangan akan dihulurkan kepada isterinya bagi meringankan kehidupan mereka sekeluarga,” katanya.

Tiket bagi acara yang berlangsung dari jam 1 tengah hari hingga 9 malam itu dijual pada harga RM20 dan boleh didapati di pintu masuk dewan acara.

Antara 21 pemuzik dan pelawak yang akan menjayakan acara amal berkenaan termasuk Noh Salleh, Kayda Aziz, Penunggu, Airwaves on Fire, Skies Are Red, Papi Zak, Nizam Jentik Jentik, Faisal Merican dan Juliana Heng.

956 dibaca
Berita Harian X