Rabu, 23 Januari 2019 | 7:25pm
SEMUA ahli berdaftar di bawah PRISM digesa mendaftar menjadi ahli RPM Sdn Bhd bagi mendapatkan agihan royalti - Foto hiasan

MRM raih royalti lebih RM114 juta sepanjang 2018

KUALA LUMPUR: Badan induk pelesenan koleksi muzik, Music Rights Malaysia Berhad (MRM) mengumumkan mengutip royalti berjumlah RM114.1 juta sepanjang tahun lalu.

MRM menyebut, jumlah itu akan diagihkan kepada tiga badan pemegang royalti iaitu Music Authors Copyright Protection Bhd (MACP), Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM) dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan badan itu, ketiga-tiga entiti berkenaan bertanggungjawab mengagihkan hasil kutipan kepada ahli berdaftar merangkumi penulis lagu, penerbit muzik, syarikat dan pelaku rakaman berdasarkan laporan penggunaan muzik.

Sebelum ini, kutipan royalti yang dibuat empat badan terbabit termasuk Performers & Artistes Rights Malaysia (PRISM) meraih RM86 juta pada 2016, sebelum diambilalih MRM sebagai badan induk yang mengutip royalti.

Kenyataan itu menambah, MRM yang beroperasi sepenuhnya tahun lalu, menerima lebih banyak royalti muzik pada kos yang lebih rendah dalam tahun operasi pertamanya dengan pengurangan kos kerja pentadbiran, penggabungan kos dan memudahkan pematuhan hak cipta muzik untuk perniagaan komersial di seluruh negara.

“Semua royalti MRM diagihkan atas dasar bukan keuntungan kepada badan pemegang berkepentingan untuk diagihkan kepada penggiat industri muzik,” kata kenyataan itu.

MRM mengumumkan, salah satu badan pemegang kepentingannya, PRISM tidak lagi memainkan peranan sebagai badan pengagihan royalti oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 November lalu selepas gagal membayar ganti rugi berjumlah RM1.6 juta berhubung pelanggaran hak cipta dan perwakilan palsu.

“Perkara ini memberi kesan kepada ahli seperti artis dan pemuzik rakaman PRISM yang kehilangan perwakilan pelesenan kolektif mereka,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, semua ahli berdaftar di bawah PRISM digesa mendaftar menjadi ahli RPM Sdn Bhd yang dipengerusikan Datuk Sheila Majid secepat mungkin bagi membolehkan mereka menerima royalti selayaknya daripada hasil pungutan MRM.

RPM adalah badan pelesenan yang diberi kuasa oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi mewakili artis dan pemuzik rakaman.

716 dibaca
Berita Harian X