Jumaat, 18 Januari 2019 | 9:30am
AZIRA mengakui kembali sendiri selepas enam tahun bercinta. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Cinta enam tahun Azira Shafinaz terlerai

KUALA LUMPUR: Enam tahun menjalin cinta dengan ahli perniagaan, penyanyi dan pelakon, Azira Shafinaz akur apabila hubungan mereka berakhir beberapa bulan lalu.

Azira atau nama sebenarnya, Azira Shafinaz Ramlan, 27, berkata, hubungannya dengan bekas kekasih berakhir bukan kerana orang ketiga, sebaliknya atas kerelaan bersama.

“Tiada sebarang perselisihan faham, sebaliknya kami memutuskan untuk membuat haluan masing-masing.

“Lagipun, kami belum terfikir untuk membawa hubungan itu ke fasa yang serius, jadi lebih baik kami fokus kepada kerjaya,” katanya.

Sebelum ini, anggota kumpulan De Fam yang ditemui pada majlis sidang media Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33 pernah memaklumkan mengenai perancangan untuk mendirikan rumah tangga, namun tarikhnya belum ditetapkan.

Mengenai persiapan menggantikan Altimet membawakan lagu Bunga pada acara yang akan berlangsung pada 3 Februari ini, Azira berkata, De Fam berusaha keras memberikan persembahan terbaik.

“Kami banyak membuat latihan, terutama dari sudut tarian untuk memantapkan lagi persembahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, De Fam juga bakal tampil dengan single keempat sedikit masa lagi.

3719 dibaca
Berita Harian X