Khamis, 17 Januari 2019 | 10:02pm

AJL 33 setaraf konsert mega

SUBANG JAYA: Persembahan setaraf konsert mega - itu yang dijanjikan produksi Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33 yang bakal berlangsung pada 3 Februari ini.

Penerbit Eksekutif AJL 33, Nurhul Huda Khalid berkata, bukan sekadar menonjolkan 12 lagu terbaik yang dibawakan barisan penyanyi hebat, ia turut dimantapkan kemunculan bintang legenda dan bakat muda yang menyerikan segmen interlude.

“Saya yakin persembahan yang bakal disajikan nanti berbaloi dengan harga jualan tiket yang mula diperkenalkan tahun ini.

“Setiap tahun, pihak produksi meletakkan mutu persembahan pada tahap maksimum.

“Kami bertuah kerana usaha itu mendapat kerjasama erat seluruh produksi, terutama penyanyi yang bakal bersaing pada edisi terbaru ini,” katanya.


Badan kebajikan The Prince’s Trust, diasaskan Charles pada 1976 untuk membantu golongan muda kurang bernasib baik dan menerima sumbangan £490,000 (RM2.65 juta) daripada Huawei sejak 2007. -Foto Agensi

Nurhul Huda berkata, melihat sambutan hangat yang diberikan peminat apabila tiket hampir habis ditempah, ia membuktikan AJL masih unggul di hati penggemar industri muzik tempatan.

“Segmen interlude pasti ditunggu-tunggu dengan kemunculan kumpulan kumpulan rock legenda Search, selain Nico G dan barisan artis muda seperti Nabila Razali, Ismail Izzani serta Sarah Suhairi,” katanya yang ditemui selepas cabutan undian giliran AJL33, di sini.

Tirai persembahan AJL 33 dibuka dengan kemunculan Khai Bahar membawakan Luluh, disusuli Jatuh Bangun (Haqiem Rusly menampilkan Aman Ra), Kau Pun Sama (Syamel), Tak Pernah Hilang (Amylea & Kaer) dan Hajat (Hael Husaini).

Turut bersaing Nisan Cinta (Siti Nordiana & Jaclyn Victor), Di Matamu (Sufian Suhaimi), Bunga (De Fam), Semakin (Siti Sarah Raissuddin), Bunga (Ara), Haram (Hael Husaini & Dayang Nurfaizah) dan Sampai Bila (Misha Omar).

Mengulas mengenai penjurian, Nurhul Huda berkata, tidak timbul isu pemilihan juri terlalu muda atau kurang pengalaman kerana setiap mereka mempunyai keistimewaan tersendiri.

Untuk edisi AJL 33, Nurhul Huda berkata, sebahagian daripada juri yang terpilih adalah komposer yang pernah menyertai AJL, manakala selebihnya mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

“Juri antara tonggak utama, selain lagu dan penyanyi yang menggalas amanah komposer serta penulis lirik.

“Latar belakang, pengalaman dan kepakaran mereka diperincikan sebelum pihak penerbitan menyenarai pendek 10 juri untuk mengadili lagu yang dipertandingkan.

“Tidak timbul isu mengenai kredibiliti atau ketelusan juri memandangkan mereka mempunyai kepakaran tersendiri dalam menentukan lagu terbaik dan pemenang kategori lain,” katanya.

AJL 33 yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil menampilkan gandingan Sherry Al Hadad dan Alif Satar sebagai pengacara. Ia bakal dipancarkan secara langsung menerusi TV3.


BARISAN finalis yang bakal menghangatkan malam kemuncak AJL 33 pada 3 Februari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

Senarai giliran persembahan AJL 33:

1) Luluh (Khai Bahar)

2) Jatuh Bangun (Haqiem Rusli/Omar K, Haqiem Rusli dan Ikhwan Fatanna/Aman Ra, Omar K, Haqiem Rusli, Ikhwan Fatanna)

3) Kau Pun Sama (Syamel/Kidd Santhe/Syamel)

4) Tak Pernah Hilang (Kaer dan Amylea/Farouk Roman/Amylea Azizan)

5) Hajat (Hael Husaini/Hael Husaini dan Ezra Kong)

6) Nisan Cinta (Siti Nordiana dan Jaclyn Victor/Hael Husaini, Mike Chan dan Ezra Kong)

7) Di Matamu (Sufian Suhaimi/Sirkhan dan Rinkarnaen)

8) Bunga (De Fam/Omar K dan J Jeevasingam/Altimet)

9) Semakin (Siti Sarah/Mera Utama)

10) Bunga (Ara Johari/Laq Hang Nadim/Hang Nadim)

11) Haram (Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah/Hael Husaini dan Ezra Kong)

12) Sampai Bila (Misha Omar/Sharon Paul/Ahmad Fedtri Yahya dan Shah Shamsiri)

2338 dibaca
Berita Harian X