Rabu, 16 Januari 2019 | 8:00pm
BARISAN pemenang (dari kiri), Natalie Ng, Gary Yap, Wayne Cai, Moo Siew Keh, Jack Yap, Louisa Chong, Emily Chen, Rickman Chia dan Tan Ley Teng bersama trofi masing-masing. - Foto Rangkaian Televisyen Media Prima

Drama Beautiful World - Husband sapu lima trofi di China

KUALA LUMPUR: Drama Cina terbitan ntv7 dan 8TV meraih sembilan trofi pada Asia Rainbow TV Awards di Pusat Persidangan Yalong Bay, China, Sabtu lalu.

Paling menyerlah, drama Beautiful World - Husband yang menggondol lima trofi utama termasuk kategori Komedi Terbaik dengan dua bintang utama, Wayne Cai dan Jack Yap meraih trofi Pelakon Komedi Wanita dan Lelaki Terbaik.

Pada acara anugerah yang mempertandingkan program televisyen (TV) terbaik Asia itu, drama hasil nukilan Moo Siew Keh itu turut memenangi kategori Penulis Skrip Terbaik.

Turut mencipta kejayaan, bintang utama drama Beautiful World - Crow yang dimenangi aktres popular, Louisa Chong. Pelakon drama Growth Behind The Sun, Emily Chan, pula meraih trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Dua personaliti 8TV, Gary Yap dan Natalie Ng, yang sering mengacarakan program Cina tempatan membawa pulang trofi Pengacara Program Hiburan Terbaik Lelaki dan Wanita.

Yap dan Ng mengendalikan program Ho Chak! dan I Can See Your Voice versi Bahasa Cina musim pertama.

Tidak ketinggalan, program Mandarin Battle Stars musim ketujuh merangkul trofi bagi kategori Program Permainan dan Kuiz Terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian TV Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, kejayaan drama terbitan ntv7 dan 8TV dianggap permulaan yang baik bagi 2019.

“Alhamdulillah, tahun ini dimulakan dengan berita baik apabila program ntv7 dan 8TV menerima pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.

“Segala penghargaan harus diberi kepada barisan pelakon, kru belakang tabir dan setiap individu yang terbabit dalam produksi. Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur dan juri yang memberi pengiktirafan ini.

“Semoga kemenangan ini menjadi pembakar semangat kepada produksi dan selebriti untuk berusaha dengan lebih keras agar 2019 dapat membuahkan hasil yang membanggakan,” katanya di sini, hari ini.

Asia Rainbow TV Awards dihadiri barisan pelakon Cina tempatan dan personaliti 8TV seperti Wayne, Jack, Emily, Louisa, Gary, Natalie, Rickman Chia dan Tan Ley Teng.

Pada edisi keempat acara anugerah ini, penyertaan diterima dari 32 negara termasuk China, Korea Selatan, Jepun, Singapura, India, Indonesia, Nepal, Afghanistan, Myanmar, Kazakhstan, Malaysia dan Iran.

Panel juri merangkumi 21 tokoh berpengalaman dari sembilan negara yang menilai 88 karya dalam hampir 30 kategori dipertandingkan.

981 dibaca
Berita Harian X