Selasa, 8 Januari 2019 | 8:57pm
Burhanuddin bersama kru produksi Les’ Copaque pada majlis pelancaran poster Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal hari ini. - Foto BERNAMA

Filem Upin & Ipin dapat suntikan teknologi luar

KUALA LUMPUR: Filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan bagi mendapatkan kualiti terbaik untuk tontonan peminat.

Menggunakan kepakaran tempatan dengan suntikan teknologi luar negara, filem yang menelan belanja RM20 juta itu bakal menemui penonton di pawagam pada 21 Mac depan.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, berkata ia dijangka dapat mengangkat animasi tempatan setanding karya besar luar negara.

“Filem ini mengambil masa agak panjang untuk disiapkan kerana Les’ Copaque mahu meningkatkan tahap teknikal produksi.

“Selain itu, pasukan penerbitan kita juga banyak mempelajari kemahiran teknikal apabila filem ini mendapat suntikan teknologi dari Hong Kong, Thailand dan Amerika Syarikat,” katanya pada majlis pelancaran poster dan trailer filem berkenaan, di sini hari ini.

Filem itu mendapat sentuhan tiga pengarah muda, Ahmad Razuri Roseli, Adam Amiruddin dan Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim yang berpengalaman menghasilkan siri animasi terbitan Les’ Copaque iaitu siri Upin & Ipin, Pada Zaman Dahulu serta Puteri.


Burhanuddin ketika melancarkan poster Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal, hari ini. - Foto BERNAMA

“Karya yang disokong geran daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebanyak RM3 juta ini turut mempunyai dua lagu tema, Keris Sakti, dendangan penyanyi yang mencipta nama di Indonesia, Fakhrul Razi, dan Buai Laju Laju nyanyian Ernie Zakri,” katanya.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal berkisar mengenai pengembaraan kembar terbabit ke sebuah kerajaan Inderaloka selepas menemui sebilah keris dalam bilik stor milik Tok Dalang.

Pengembaraan mereka membawa kedua-duanya bertemu pelbagai watak dongeng popular tempatan, antaranya Mat Jenin, Si Tanggang, Bawang Putih Bawang Merah dan Pak Belalang.

Filem ini juga dijadualkan tayangannya di Indonesia, Brunei dan Singapura.

Berita Harian X