Selasa, 8 Januari 2019 | 5:35pm
MOHAMED Juhari (berdiri lima dari kanan) dan Mohamaddin (tengah) bersama artis dan produksi yang bakal membuat persembahan di Istana Budaya sepanjang 2019. - Foto Mahzir Mat Isa

Rugi RM3 juta, IB perketat syarat kemasukan produksi

KUALA LUMPUR: Istana Budaya (IB) mengalami kerugian hampir RM3 juta apabila 37 syarikat produksi gagal melunaskan hutang tertunggak sejak 2010.

Sehubungan itu, Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, IB memperketatkan syarat kemasukan produksi untuk pementasan bermula tahun ini.

“Kebanyakan syarikat yang gagal membayar hutang itu adalah produksi kecil dan baharu apabila pementasan dianjurkan tidak mendapat sambutan.

“Bermula tahun ini, kami meneliti bajet setiap produksi yang ingin membuat persembahan dan mereka harus membayar deposit RM3,000 sebelum diberikan tarikh.

“Ini bagi mengelakkan berlaku kes menarik diri pada saat akhir," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Program IB 2019, di sini.

Sementara itu, bagi produksi yang masih berhutang dengan IB, Mohamed Juhari berkata, mereka harus melunaskan jumlah tertangguh terlebih dahulu sebelum dibenarkan membuat persembahan semula.

Majlis yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi itu memperkenalkan 18 program merangkumi konsert, teater dan muzikal bermula Januari hingga Ogos depan.

Mohamed Juhari berkata, kesemua 18 program yang diperkenalkan sudah membayar deposit, manakala sebahagian program lagi masih menanti tarikh pementasan kerana belum melunaskan wang pendahuluan.

Bagi menggalakkan kemasukan produksi baharu di pentas IB, Mohamed Juhari berkata, kadar sewaan panggung RM15,000 untuk satu persembahan akan dihapuskan.

"Tetapi, sebahagian daripada keuntungan penjualan tiket persembahan akan diberikan kepada kerajaan.

“Kaedah ini diperkenalkan bertujuan membuka peluang kepada produksi baharu untuk menjalin kerjasama,” katanya.

Pada majlis sama, Mohamed Juhari turut memaklumkan, masih terdapat kekosongan yang perlu diisi, terutama untuk pementasan selepas Ogos.

“Kita mengharapkan lebih banyak pementasan teater dianjurkan memandangkan hanya dua teater dipentaskan dalam tempoh itu iaitu muzikal Ola Bola dan Tun Fatimah," katanya.

Mohamed Juhari berkata, ia disebabkan kecenderungan syarikat produksi menjadikan pentas IB sebagai lokasi penganjuran konsert memandangkan lebih menguntungkan.

Untuk 2019, lapan konsert bakal berlangsung iaitu Konsert Retro pada 1 hingga 2 Februari, Remembering Whitney Houston - The Greatest Love Of All (21 hingga 23 Mac), Ella Unplugged In Kuala Lumpur (29 hingga 31 Mac), Soul Sisters 2019 (5 dan 6 April) dan Dayang Dua Dekad (21 Julai).

1069 dibaca
Berita Harian X