Isnin, 7 Januari 2019 | 5:19pm

Tiket AJL 33 laris

KUALA LUMPUR: Bahang Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33 yang bakal berlangsung 3 Februari ini semakin dirasai apabila tiket untuk ruang arena yang berharga RM55 habis dijual dalam masa satu jam.

Pengurus Hiburan Primeworks Studios, Muhamad Sufian Che Isa berkata, pengendali sistem penjualan tiket AJL 33, My Ticket memaklumkan, ia laris sejak tempahan dibuka bermula jam 12 tengah hari tadi.

“Berita itu amat mengejutkan kerana kebiasaannya, tiket acara kemuncak AJL diberi percuma.

"Tambahan pula, sejak pengumuman penjualan tiket dibuat Jumaat lalu, kami menerima kecaman netizen yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

“Kami tetap positif dan Alhamdulillah, penjualan tiket berjalan lancar. Ia membuktikan AJL masih relevan, biarpun sudah memasuki tahun ke-33 penganjuran,” katanya.


BIARPUN sudah 33 tahun, Sufian bangga AJL masih relevan di hati pencinta muzik. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

AJL 33 yang bakal dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, menawarkan tiga jenis tiket iaitu RM25 untuk tempat duduk aras empat, RM35 (aras tiga) dan RM55 (arena).

Meskipun tiket untuk arena sudah habis dijual, peminat masih boleh mendapatkan tiket bagi aras 3 dan aras 4 menerusi laman web: www.myticket.asia.


SARAH kembali ke pentas AJL dengan lagu Semakin. Foto Zunnur Al Shafiq

AJL 33 membariskan finalis hebat seperti Hael Husaini, Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Siti Sarah Raissuddin, Altimet, Haqiem Rusly, Syamel, Ara Johari, selain Kaer dan Amylea.

Maklumat lanjut mengenai AJL 33 boleh didapati dengan melayari www.xtra.com.my dan perkongsian di laman media sosial Facebook, Instagram dan Twitter TV3 Malaysia.

Peminat AJL juga dialu-alukan menggunakan tanda pagar, #AJL33 untuk menghangatkan perbualan di media sosial.

3030 dibaca
Berita Harian X