Ahad, 6 Januari 2019 | 11:08pm
Peminat AJL33 boleh membeli tiket menyaksikan acara berprestij itu secara talian, mulai esok. Acara berprestij terbitan TV3 ini bakal disiarkan secara langsung dari Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Februari depan. - Ihsan TV3

Tiket AJL33 dijual esok

KUALA LUMPUR: Produksi acara berprestij terbitan TV3, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33, buat julung kalinya menjual tiket kepada orang ramai dengan harga serendah RM25.

Orang ramai boleh melayari www.myticket.asia mulai esok bagi mendapatkan tiket menyaksikan AJL33 yang akan berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, pada 3 Februari depan.

Pengurus Hiburan Primeworks Studio, Muhammad Sufian Che Isa berkata, ini kali pertama tiket AJL dijual dalam sejarah lebih tiga dekad penganjurannya, sekaligus memberi peluang kepada peminat menyaksikan AJL33 di lokasi acara.

"Orang ramai boleh melayari www.myticket.asia mulai esok. Kami yakin dengan harga tiket berpatutan, ia akan habis terjual pada masa singkat.

“AJL adalah konsert di mana penyanyi popular berentap sesama mereka dan ini cukup dinanti-nantikan peminat. Harga tiket AJL33 amat rendah jika dibandingkan dengan konsert lain," katanya kepada BH Online.

AJL33 menawarkan tiga jenis tiket iaitu tempat duduk aras empat berharga RM25, aras tiga (RM35) dan arena (RM55).

Pautan penjualan tiket ini akan dibuka mulai esok hingga 2 Februari depan.

Maklumat lanjut mengenai AJL33 boleh didapati dengan melayari www.xtra.com.my dan perkongsian di laman media sosial Facebook, Instagram dan Twitter TV3 Malaysia.

1962 dibaca
Berita Harian X