Jumaat, 4 Januari 2019 | 11:43pm
Abdul Malik (kanan) bersama Azwan (kiri) dan Mu'adz (dua dari kiri) pada pelancaran album nyanyian Mu’adz dan Azwan di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Fazura (dua dari kanan). - NSTP/Asyraf Hamzah

Mu'adz, Azwan nyanyi lagu Tamil untuk filem Rajinikanth

KUALA LUMPUR: Dua penyanyi nasyid tempatan diberi peluang menyanyikan lagu Tamil bertajuk ‘Ullala’ dari filem ‘Petta’, filem terbaru lakonan lagenda filem Tamil, Rajinikanth, yang akan digunakan untuk video promosi filem terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation (syarikat pemegang hak pengedaran filem itu untuk seluruh dunia kecuali India), Datuk Abdul Malik Dasthigeer, berkata lagu dinyanyikan Mu’adz Dzulkefly dan Azwan Ibrahim itu akan digunakan untuk klip video bagi mempromosikan filem itu di negara-negara Asean.​​​​​​​

“Filem yang akan ditayangkan 10 Januari ini sempena perayaan ‘Ponggal’ adalah kerjasama pertama Rajinikanth dengan pengarah muda, Karthik Subbaraj, dengan barisan pelakon termasuk pelakon Bollywood Nawazuddin Siddiqui, Vijay Sethupathi, Simran, Trisha dan Bobby Simha”, katanya pada pelancaran album nyanyian Mu’adz dan Azwan di sini, hari ini.

Terdapat desas-desus yang menyatakan filem itu adalah filem terakhir SuperStar Kollywood itu sebelum beliau secara rasminya menyertai bidang politik.

Abdul Malik berkata Petta, yang bermaksud tempat tinggal, dijadual akan ditayangkan di 140 pawagam di seluruh negara dalam tiga bahasa iaitu Tamil, Hindi dan Telugu.

Abdul Malik berkata lagu nyanyain Mu’adz dan Azwan itu akan dihantar untuk diperdengarkan kepada Rajinikanth esok. ​​​​​​​Penyanyi lagu itu di dalam filem Petta ialah Nakash Aziz dan Inno Genga.

Sementara itu, Mu’adz memberitahu Bernama walaupun beliau pernah menyanyikan lagu Tamil sebelum ini, peluang menyanyikan lagu ‘Ullala’ disifatkan sebagai pengiktirafan buat dirinya.

“Kami mengambil masa lima hari untuk merakamkan lagu ini. Cabaran utama adalah sebutan dan ekspresi yang perlu diluahkan mengikut maksud perkataan selain mengejar masa untuk berlatih,” katanya.

Mereka dilatih komposer dan penulis lirik serta skrip popular tanah air, Kavilnayagan Yuwaji sementara Saran Z bertindak selaku pengarah bagi projek lagu itu.

Mu’adz dan Azwan pernah berganding bahu menyanyikan lagu Tamil tempatan bertajuk ‘Azhagu’ pada 2014 menerusi kumpulan SALAAM.​​​​​​​

​​​​​​​Azwan berkata beliau adalah peminat Rajinikanth dan ia menjadi antara motivasi untuknya bersetuju menyanyikan lagu yang digubah komposer muzik terkenal India, Anirudh Ravichander itu.

Mu’adz adalah penyanyi solo nasyid yang pernah menerbitkan album ‘Rindukan Cahaya’ pada 2013, manakala Azwan pula adalah ahli kumpulan nasyid ‘Fareast’ dan sudah menghasilkan lapan album setakat ini. - BERNAMA

1205 dibaca
Berita Harian X