Khamis, 27 Disember 2018 | 8:09pm
EMPAT penyampai baharu Berita TV3 (dari kiri) Naquia Adibah, Nik Munirah, Fatin Hamimah dan Ramzan. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Wajah baharu mantapkan pengisian Buletin TV3

PETALING JAYA: Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad memperkenalkan empat penyampai baharu Buletin TV3, sejajar dengan matlamat untuk

merakyatkan berita.

Selain mengekalkan penyampai sedia ada, Pengarang Urusan Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Manja Ismail berkata, pembaharuan itu turut memberi kesegaran kepada slot berita stesen TV terbabit.

"Perubahan ini sejajar dengan matlamat kita mahu merakyatkan berita, seiring dengan kebebasan media seperti yang dilaungkan kerajaan.

“Pembaharuan itu dapat dilihat menerusi set studio, montaj dan penyampai baharu bermula 1 Januari ini," katanya pada sesi taklimat bersama empat wajah baharu Berita TV3, di sini, hari ini.

Bermula jam 12 tengah malam pada 31 Disember ini, slot berita Nightline menampilkan penyampai baharu, Naquia Basharudin, yang sebelum ini mengendalikan segmen Berita Bizworld.

Sementara itu, Buletin Utama menampilkan Nik Munirah Nik Hassan untuk segmen sukan, manakala Fatin Hamimah Yusof dan Ramzan M Saufi pula mengendalikan segmen berita utama.

"Kita mengambil kira pandangan penonton dan kemampuan sumber manusia untuk memantapkan lagi slot berita supaya terus menjadi pilihan ramai.

"Walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam dunia kewartawanan, kita melihat pembaharuan ini sebagai keperluan dan pemangkin untuk terus membawa Berita TV3 dekat di hati penonton," katanya.

4426 dibaca
Berita Harian X