Ahad, 23 Disember 2018 | 12:39pm

Kumpulan 'Seventeen' antara mangsa tsunami Selat Sunda

JAKARTA: Kumpulan pop rock terkemuka Indonesia, ‘Seventeen’ yang sedang mengadakan persembahan, turut menjadi mangsa tsunami yang melanda Selat Sunda, semalam, lapor laman media tempatan, hari ini.

Laman Tempo.co melaporkan, semua anggota kumpulan yang ditubuhkan sejak 1999 di Yogyakarta itu, masih belum dijumpai selepas ombak tsunami melanda pantai Carita, ketika mereka sedang mengadakan persembahan.

Kisah yang menimpa kumpulan itu, dikongsikan vokalis kumpulan DMasiv, Rian Ekky Pradipta menerusi akaun Instagram, yang meminta agar peminat dan orang ramai mendoakan semua anggota kumpulan ‘Seventen’ agar segera ditemui dan dalam keadaan selamat.


KUMPULAN Seventeen. - Foto ihsan Instagram seventeenbandid

“Doakan kumpulan ‘Seventeen’ yang terkena ombak ketika membuat persembahan di Pantai Carita, beberapa kru dan anggota masih belum dijumpai. Mohon doa agar semuanya dalam keadaan baik-baik saja,” tulis Rian DMasiv.

Rian turut menulis diruang komen, maklumat lanjut berhubung kematian pengurus kumpulan “Seventeen’ meninggal dunia dan beberapa kru serta anggota kumpulan masih belum dijumpai.

Kumpulan ‘Seventeen’ dianggotai Ifan (vokalis), Bani (gitar bass), Yudhi (gitar), Herman (gitar) dan Andi drum. Kumpulan itu sudah menghasilkan album antaranya, ‘Bintang Terpilih’ (1999), ‘Sweet Seventeen’ (2005), Lelaki Hebat (2008), Dunia Yang Indah (2011), Sang Juara (2013) dan Pantang Mundur (2016). - Agensi

11673 dibaca
KEADAAN bangunan yang rosak selepas dilanda tsunami di pantai Carita. - Foto AFP
Berita Harian X