Selasa, 12 Jun 2018 | 5:50pm
EPISOD khas Muzik Muzik 33 Raya mengangkat irama tradisional dengan konsep rumah terbuka dan rewang. - Foto Luqman Hakim Zubir

MM33 Raya angkat irama tradisional

KUALA LUMPUR: Tampil berbeza, episod khas Muzik Muzik 33 Raya mengangkat irama tradisional dengan konsep rumah terbuka dan rewang sempena Aidilfitri.

Memantapkan pengisian, penerbit bekerjasama dengan ratu irama Malaysia, Noraniza Idris yang berkongsi idea dan membawa rombongan artis budaya mengiringinya membuat persembahan.

Penerbit Eksekutif MM33 Raya, Nurul Huda Khalid memberitahu, pihaknya mahu mencipta kelainan dan memartabatkan semula irama tradisional yang kian terpinggir.

"Sudah alang-alang irama Malaysia diangkat sedikit demi sedikit, apa salahnya kita bawa tema ini yang sudah lama diabaikan.

"Kami meminta Noraniza berkongsi idea agar lebih meriah. Apatah lagi, Noraniza terkenal dengan kreativiti dan idea menarik selain memiliki kumpulan penari yang ramai," katanya ditemui pada sesi rakaman MM33 Raya di sini, baru-baru ini.

MM33 Raya yang dihoskan penyampai stesen radio Hot FM, Haziq Hussni dan Sherry Alhadad, dijangka disiarkan pada 25 Jun depan.

Turut diundang memeriahkan program itu penghuni empat rumah kebajikan iaitu Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Conerstone, Baitul Barakah, Rumah Anak Yatim Al-Ummah dan Pertubuhan Anak-Anak Warisan Suci Kajang.

Huda berkata, lagu yang dipersembahkan adalah gabungan irama Malaysia dan moden dinyanyikan artis seperti Fee Haiqal, Sufian Suhaimi, Ismail Izzani, Hael Hussaini, Ernie Zakri, Wany Hasrita dan Haqiem Rusli.

"Kami membawa artis muda kerana mahu menunjukkan mereka bukan saja boleh menyanyi lagu pop, malah dendangan asli.

"Ternyata ada lenggok irama tradisional dalam diri mereka. Saya yakin melalui anak muda, lagu asli dan tradisional dapat ditonjolkan kepada generasi baharu," katanya.

Sementara itu, Noraniza berkata, dia tidak menyangka diberi peluang menjana idea dalam merealisasikan MM33 Raya.

"Ini kali pertama saya dipanggil memberi idea dan konsep rakaman program ini. Malah, pilihan lagu diputuskan saya," katanya.

Noraniza percaya, secara tidak langsung, masyarakat terdedah dengan keunikan irama tradisional apabila diangkat program hiburan popular seperti MM33.

"Melihat artis muda menyanyikan lagu tradisional memberi harapan bahawa satu hari nanti, genre muzik itu akan kembali menjadi fenomena," katanya.

18 dibaca
Berita Harian X