Isnin, 11 Jun 2018 | 5:44pm
KETUA Eksekutif MPTN, Johan Ishak, Johan Ishak. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Empat stesen TV MPB rekod 400 juta tontonan

KUALA LUMPUR: Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN) menduduki tangga teratas sebagai peneraju berita apabila mencatat 400 juta tontonan di semua stesen televisyen (TV) miliknya sepanjang musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu.

Mengikut Laporan Nielsen Malaysia, statistik diperoleh berdasarkan anggaran 17 juta daripada 21 juta penonton TV di negara ini, mengikuti liputan berita yang disiarkan TV3, ntv7, TV9 dan 8TV sepanjang tempoh itu.

Ketua Eksekutif MPTN, Johan Ishak berkata, peningkatan jumlah tontonan di semua saluran TV Media Prima Berhad (MPB) membuktikan orang ramai menaruh kepercayaan terhadap kredibiliti kumpulan.

"Menerusi laporan firma penyelidikan, pengguna dan media, Nielsen Malaysia, daripada 32 juta populasi penduduk di negara ini, 21 juta adalah mereka yang menonton TV dan berusia empat tahun ke atas.

"Angka itu adalah tertinggi pernah dicatat sepanjang tempoh lima tahun. Secara tidak langsung, segmen berita MPTN kekal nombor satu, bukan hanya ketika musim PRU-14, malah momentumnya naik hingga hari ini.

"Laporan Nielsen ini membuktikan rakyat Malaysia terus menjadikan MPTN sebagai pilihan pertama terutama Buletin Utama (BU) di TV3," katanya di sini, hari ini.

Bulan lalu, Nielsen melaporkan, segmen berita TV3, 8TV dan TV9 mendominasi 81 peratus daripada pasaran dengan anggaran setiap seorang daripada 17 juta penonton mengikuti berita disiarkan MPTN sebanyak 23 kali sepanjang Mei.

Paling tinggi dan kekal di tempat pertama adalah BU yang mencatat peningkatan purata lebih enam peratus berbanding April. Ini menjadikan jumlah tontonan BU melonjak kepada 3.78 juta.

Sementara itu, dalam segmen berita bahasa Cina, 8TV Mandarin kekal nombor satu dengan jumlah tontonan 1.3 juta diikuti Mandarin 7 (900,000 tontonan). Berita TV9 pula merekodkan 1.7 juta tontonan sepanjang tempoh sama.

Johan berkata, semua peningkatan dan penambahan jumlah tontonan dirangsang tiga elemen utama yang digerakkan jentera pasukan bilik berita.

"Pencapaian membanggakan ini didorong tiga faktor iaitu ketepatan dan ketelusan berita, kepantasan berita disalurkan serta profesionalisme kewartawanan.

"Apabila berlaku perubahan kerajaan, permintaan pengguna dan sentimen pasaran, kita mantapkan lagi konsep kepatuhan kepada profesionalisme mengikut etika," katanya.

Sementara itu, portal online daripada kumpulan akhbar The New Straits Times Press (NSTP) iaitu Harian Metro Online, BH Online dan NST Online berada dalam kedudukan lima teratas pada tarikh 9 dan 10 Mei lalu.

Harian Metro mencatat jumlah pelayar 8.4 juta manakala BH Online (4.8 juta) diikuti NST Online (2.6 juta).

113 dibaca
Berita Harian X