Khamis, 16 November 2017 | 4:27pm
PENGARAH Persembahan Konsert Emoji, Azmeer.

Konsert Emoji beri peluang penyanyi luah perasaan

SHAH ALAM: Buat julung kali, Konsert Emoji yang menampilkan artis lelaki terkenal, akan berkongsi rasa serta makna tersirat setiap lagu yang dipersembahkan, kepada penonton.

Pengarah Persembahan Konsert, Azmeer, berkata kelainan untuk konsert yang akan berlangsung selama dua malam pada 16 dan 17 Disember depan, setiap penyanyi akan menyampaikan mesej lagu yang dinyanyikan mereka.

Katanya, konsert yang menampilkan lima penyanyi terkenal iaitu Anuar Zain, KRU, Faizal Tahir, Akim & The Majistret dan Usop Mentor itu bukan hanya bermotifkan hiburan semata-mata sebaliknya juga mahu menyampaikan mesej yang baik kepada pendengar.

"Selalunya, bila sebut konsert, mungkin kita gambarkan keseronokan berhibur semata-mata tetapi Konsert Emoji anjuran anjuran Fakulti Filem, Teater dan Animasi(FiTA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) agak berbeza kerana penyanyi akan berkongsi segala makna serta luahan perasaan mengenai lagu mereka.

"Sebagai contoh, Anuar Zain akan berkongsi maksud setiap lirik lagu 'Sedetik Lebih'. Setiap penyanyi, sebelum membuat persembahan, mereka akan mengambil sedikit masa untuk berkongsi makna lagu itu.

"Dengan cara ini, penonton bukan sekadar dapat berhibur malah mereka akan lebih menghayati lagu selain mendapat pengetahuan baharu," katanya ketika di temui di FiTA, di sini, hari ini.

Azmeer berkata, setiap artis terbabit diberi kebebasan untuk memilih lagu yang bakal dinyanyikan pada konsert berkenaan tetapi beliau akan memantau bagi memastikan setiap lagu dipersembahkan menyampaikan mesej yang baik sekali gus mencapai matlamat konsert.

Dianjurkan sempena Minggu KaryaOne dan ulang tahun FiTA ke-20, konsert itu juga menampilkan kelainan berikutan artis terbabit semuanya lelaki.

"Semua artis ini mempunyai pengikut dan peminat sendiri. Kita sasarkan penonton yang datang daripada pelbagai peringkat dan usia.

"KRU, Anuar Zain boleh menarik penonton yang agak berusia. Akim dan Usop Mentor pula popular dalam kalangan penonton yang muda dan remaja. Pada konsert itu, Usop akan diangkat sebagai pembuka persembahan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Projek Minggu KaryaOne, Norlela Ismail, berkata Minggu Karyaone tahun ini memberi kelainan apabila memilih beberapa individu dalam kalangan alumni FiTA untuk dipilih menjadi Ikon FiTA.

Katanya, setiap individu berkenaan dinilai dari segi pembabitan dalam industri selain sumbangan mereka di fakulti dan masyarakat.

Berita Harian X