Ahad, 15 Oktober 2017 | 9:20pm
Ku Rela Dibenci dendangan Aiman Tino mencatat lebih 40 juta tontonan di laman YouTube.

Irama mendayu 1990-an bantut evolusi muzik tempatan

KUALA LUMPUR: Muzik umpama fesyen, alirannya silih berganti. Genre yang pernah popular suatu ketika dulu, tidak mustahil kembali memeriahkan industri seni. Proses itu berlaku sekarang apabila aliran muzik era 1990-an kembali digilai pendengar dan menguasai carta lagu hit.

Single seperti Ku Rela Dibenci, Sudah Ku Tahu, Terakhir, Sedalam-Dalam Rindu, Menahan Rindu dan beberapa lagu genre sama yang didendangkan penyanyi angkatan baharu, mencetuskan fenomena dalam industri muzik tempatan.

Malah, ada antara lagu terbabit mencatat rekod yang sangat membanggakan apabila mendapat jumlah tontonan berpuluh juta di laman YouTube.

Walaupun situasi itu membawa perkembangan yang cukup bagus kerana dilihat memberi 'nyawa' kepada industri yang dianggap semakin nazak, tidak semua pihak senang dengan apa yang berlaku. Ada yang menganggap aliran irama sebegitu menggambarkan muzik Malaysia ketinggalan zaman.

Penulis lirik terkenal, Ad Samad misalnya, mewakili sebahagian daripada mereka yang melihat populariti muzik era 1990-an sebagai perkembangan kurang sihat dalam industri.


Penulis lirik terkenal, Ad Samad.

"Ia satu perkembangan yang tak bagus. Ini kerana kita harus maju, bukan menoleh ke belakang. Sebagai pemuzik, kita perlu lebih inovasi dengan benda baharu.

"Kita perlu kerancakan. Zaman sekarang kena ada kumpulan penggiat muzik yang berani dan selalu berkumpul bersama bagi membentuk sesuatu yang baharu. Tetapi, pergerakan itu tidak ada dalam kumpulan komposer muda sekarang," katanya kepada HIP.

Bukan sekadar menghasilkan melodi lama, tetapi penghasilan lirik juga disifatkan Ad seperti orang yang kurang belajar kerana terlalu ringkas dan tidak berjiwa.

Baginya, biarpun susunan muzik dan bunyi sekarang bagus didengari, kurangnya kreativiti menjadikan lagu sekarang tidak menyengat seperti era 1990-an.

"Melodi lama, tetapi lirik macam orang yang kurang membaca. Ini kerana gaya penulisan seperti orang yang tak mahu belajar ayat atau susun kata menarik. Ada benda bagus dalam kreativiti mereka, cuma mereka tak pandai nak mengembangkan sesebuah karya.

"Komposer mesti pandai pelbagaikan repertoire dan tak boleh fokus pada satu genre sahaja. Selain buat balada, buatlah sesuatu yang rancak. Penulis lirik juga kena pelbagaikan subjek, jangan tertumpu kepada karya cinta saja.

"Memang betul orang nak dengar lagu cinta, tetapi, janganlah buat lagu itu biasa saja. Cuba cari sisi lain yang pelik atau luar biasa sikit. Macam Saari Amri, liriknya sangat lurus dan bagus serta tak terlalu berkias, tetapi penceritaannya sedap," katanya.

Menyifatkan individu yang sudah berumah tangga lebih mudah memahami dan menjiwai lagu cinta, bagi Ad, kredibiliti Saari Amri yang dianggap pelopor muzik 1990-an, perlu dijadikan contoh kepada komposer muda.

Perlu lebih banyak lagu dicipta

Ad berkata, bukan sekadar menghasilkan lagu, sebaliknya lirik perlu jujur bagi membawa muzik Malaysia berkembang sekalipun mengembalikan irama 1990-an.

"Kalau kita tengok penulis lirik dulu, karyanya pelbagai dan sangat jujur. Sebenarnya, kalau kita tengok semula 1980, ada banyak lagu yang kita tidak tahu. Hanya 10 peratus daripada jumlah lagu yang ada, kita tahu dan ingat.

"Begitu juga lagu-lagu ciptaan 1990, banyak album terhasil, tetapi yang popular tak banyak. Zaman sekarang kita tak cukup cipta lagu. Dulu, untuk menghasilkan lagu seperti Tiara, Isabella dan Sejati, memerlukan 30 lagu untuk mendapatkan sebuah lagu yang sehebat ini.

"Sebulan, tiga hingga lima album dihasilkan, tetapi sekarang dua bulan nak keluarkan satu album pun susah. Kita tidak ada kuantiti, jadi susah nak terbitkan kualiti. Industri muzik kita tak cukup kuantiti lagu, bukan sebab kurang komposer, tetapi kurang artis serta modal.

"Biar ada 10 orang seperti Aiman Tino, Sufian Suhaimi dan Haqiem Rusli serta buatlah apa yang nak buat, tetapi karya kena banyak sebab kita memerlukan kerancakan dalam industri. Kalau ada ramai yang macam ini, akan ada lima hingga 10 peratus karya yang betul-betul bagus," katanya.

Pengaruh media sosial

Berpengalaman hampir tiga dekad dalam industri, penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M Nasir mempunyai pendapat yang berbeza terhadap isu ledakan irama era 1990-an.

Nasir yang digelar sifu berkata, populariti lagu irama 1990-an hanya bersifat sementara dan tidak menggambarkan keseluruhan aliran muzik Malaysia sekarang.


Penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M Nasir. - Foto Ahmad Al-Arfan Malik

"Apa yang berlaku disebabkan populariti yang dicipta di media sosial dan radio pula dipengaruhi dengan apa yang dipaparkan di situ (media sosial). Bagi saya, benda ini hanya berlaku untuk jangka masa tertentu dan bukan untuk tempoh yang lama.

"Itupun mungkin disebabkan faktor cara ia dipersembahkan serta penampilan. Orang suka hanya pada masa itu sahaja," katanya.

Mengenai dakwaan muzik Malaysia mundur apabila pendengar terus disajikan dengan genre muzik 'kitar semula', Nasir tidak bersetuju dengan pandangan skeptikal itu.

"Belum boleh dikatakan yang muzik kita mundur. Ini kerana seperti yang saya katakan tadi, sebahagian besar pendengar suka dan radio terpengaruh dengan mereka.

"Lagipun lagu sebegitu bukanlah popular sangat. Ini kerana apabila diletak dengan lagu lain, ia tidak memberi kesan sangat. Cuma yang peliknya, mengapa situasi seperti ini tidak berlaku di Indonesia?" katanya.

Lihat dari sudut positif

Berkongsi pandangan serupa dengan Nasir, komposer Mohd Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai melihat evolusi muzik 1990-an sebagai sesuatu yang positif terhadap industri muzik tempatan.

"Sebelum ini, ramai mengatakan industri muzik kita lesu. Tetapi dengan kehadiran penyanyi baharu yang mendendangkan lagi genre begini, secara tidak langsung ia menyemarakkan industri.

"Mereka yang mendakwa lagu begini mundur atau ketinggalan zaman harus melihat perkembangan ini daripada sudut positif.


Komposer Mohd Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Lihat sahaja berapa banyak jumlah tontonan muzik video mereka di laman YouTube. Lagu yang kononnya lebih terkini seperti yang didakwa tak dapat jumlah tontonan sebanyak itu.

"Perkara lain yang harus diberi perhatian adalah fenomena ini menyebabkan peminat muzik kembali memperkatakan mengenai lagu tempatan," katanya.

Ajai berkata, membesar dengan lagu bergenre begitu, dia cukup bangga kerana situasi itu membawa kembali ingatannya terhadap zaman kegemilangan muzik Malaysia.

"Kita kena ingat, lagu rock kapak seperti inilah yang berjaya membawa nama artis Malaysia ke Indonesia seperti Slam, Iklim dan Search.

"Populariti mereka ketika itu sangat hebat, jualan album sangat memberangsangkan. Lagu mereka menjadi kegilaan peminat di sana. Itulah kelebihan muzik kita yang tidak ada di Indonesia pada waktu itu," katanya.

Perlu terap elemen Malaysia

Menyambut baik kitaran muzik era 1990-an, Loque bagaimanapun berpendapat, muzik Malaysia perlu menerapkan elemen Malaysia untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Terlalu didorong lagu dari negara seberang, komposer yang menghasilkan lagu dengan bunyinya tersendiri ini menyifatkan muzik Malaysia perlu berdiri atas paksinya sendiri seperti zaman kegemilangan industri muzik, suatu ketika dulu.

"Saya rasa okay... Mungkin sebab orang sudah bosan dengan format lagu pop yang kebanyakannya 'didorong' lagu seberang.


Loque.

"Walaupun pop sekarang ada ke arah itu, saya nampak berat kepada gaya Saari Amri. Saya rasa itu okay sebab itulah gambaran lagu Malaysia.

"Memang saya tunggu aliran itu kembali, cuma saya harap kalau boleh, letakkan lagi elemen Malaysia untuk memberi kelainan sedikit selain tidak terlalu mengikut arah muzik era 1990-an. Lagu sama tak apa, tetapi cuba kreatif," katanya.

Loque berkata, lirik yang dihasilkan sekarang juga dilihat sebagai aliran.

"Kalau kita paksa mereka kembali menulis lirik yang berkias dan mendalam pun tak boleh. Ini kerana takut mereka tak minat, jadi mereka akan tulis dalam bahasa Inggeris.

"Kalau boleh, komposer seperti saya cuba cari jalan tengah untuk mencari satu formula dengan lirik yang berkias tetapi pada masa sama, mudah difahami," katanya.

Usah terlalu mengikut budaya menulis lirik yang seakan-akan sama, sebaliknya, Loque berkata, komposer muda perlu berani menghasilkan kelainan biarpun muzik yang dihasilkan 'catchy'.


Komposer Saari Amri.

Kikis sikap asal boleh

Loque berpendapat, komposer perlu belajar mencuba menghasilkan lirik yang puitis tetapi dengan gaya bahasa serta intonasi yang boleh mengajar pendengar.

"Bukan saja di Malaysia, sebaliknya lagu-lagu Lady Gaga dan Taylor Swift juga dikritik kerana lirik yang dihasilkan tidak seindah era 1990-an.

"Pada saya, janganlah ambil muzik saja mengikut acuan era 1990-an, sebaliknya, bawa semua termasuk cetusan lirik. Lirik yang saya hasilkan lebih jauh ke belakang kerana banyak mengambil inspirasi daripada era 1960-an.

"Ini kerana saya suka dengan prosa ayat yang tak lagi digunakan sekarang," katanya.

Bukan menuding jadi, tetapi baginya, komposer berpengalaman perlu cuba mendidik pencipta muda untuk menghasilkan sesuatu yang menarik untuk diikuti.

"Tak patut paksa mereka untuk ikut gaya kita, sebaliknya ajar mereka macam mana untuk hasilkan karya yang bagus. Kita kena fikir sesuatu yang di luar kotak supaya orang boleh terima bukan kerana kita suka saja.

"Buang mentaliti buat lagu asal boleh sahaja, sebaliknya, cari kelebihan dan sesuatu yang berlainan untuk hasilkan warna dalam industri," katanya.

INFO

  • Ku Rela Dibenci dendangan Aiman Tino mencatat lebih 40 juta tontonan di laman YouTube.
  • Menahan Rindu nyanyian Wany Hasrita meraih 26 juta tontonan di laman sama sejak Disember lalu.
  • Sedalam-Dalam Rindu yang dipopularkan Tajul mendapat jumlah tontonan sebanyak 24 juta sejak November lalu.
  • Terakhir nyanyian Sufian Suhaimi yang mula ditayangkan setahun lalu meraih 21 juta tontonan.
Berita Harian X