Ahad, 24 September 2017 | 12:26am
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyampaikan anugerah Filem Terbaik kepada Eric Chong menerusi filem Adiwiraku pada Anugerah Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayob. - Foto Asyraf Hamzah
PENGARAH Filem Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi Filem Adiwiraku, Eric Chong (kanan) bersama para pelakon dan krew produksi meraikan kejayaan mereka pada Festival Filem Malaysia ke 29 di Pusat Dagangan Dunia Putra. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Adiwiraku filem terbaik FFM29

KUALA LUMPUR: Adiwiraku dijulang sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi.

Filem tanpa bintang komersial terbitan Sol Pictures Sdn Bhd itu bukan hanya merangkul trofi utama FFM29 berkenaan, malah turut membawa pulang dua anugerah lain.

Bersaing dengan empat filem hebat iaitu Redha, Interchange, Hanyut dan Desolasi, karya arahan Eric Ong yang mengangkat kisah kekentalan jiwa seorang guru Bahasa Inggeris itu menyaksikan pelakon utamanya, Sangeeta Krishnasamy, dinobat sebagai Pelakon Wanita Terbaik, selain membawa pulang trofi Cerita Asal Terbaik yang dimenangi penerbit eksekutifnya, Jason Chong.

Trofi disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak yang turut merasmikan malam kemuncak festival terbabit.

Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib; dan Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayob.

Trofi Pengarah Terbaik menjadi milik Dain Said untuk filem Interchange.

Seperti dijangka, lakonan hebat Namron dalam filem Redha melayakkannya diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik. Sebelum ini, bintang berpengalaman berkenaan diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik kategori filem pada Anugerah Skrin 2016, menerusi filem sama.

Shaheizy Sam yang menunjukkan lakonan cemerlang dalam Interchange pula dipilih juri sebagai penerima trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, manakala Diana Danielle daripada filem Hanyut diumum sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Trofi Pelakon Lelaki dan Wanita Harapan pula masing-masing menjadi milik John Tan (You Mean The World To Me) dan June Lojong (Redha).

Lakonan pelakon cilik, Harith Haziq, yang meninggalkan kesan dalam filem berkisar pada dunia kanak-kanak autistik, Redha, melayakkannya diangkat sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, manakala sutradaranya, Tunku Mona Riza, dipilih sebagai Pengarah Harapan.

FFM29 turut mengiktiraf tiga filem, iaitu Desolasi, Shuttle Life dan Pekak untuk Anugerah Khas Juri.

Penghormatan turut diberikan kepada pengarah dan produser tersohor, Datuk Yusof Haslam, yang menerima Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman.

Mengangkat tema Transformasi Citra Karya, FFM29 menyaksikan 53 filem bertanding merebut 24 anugerah pada malam kemuncak yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria dan Astro Ria HD.

Ia menyaksikan artis serba boleh, Zizan Razak, bertindak sebagai hos utama, bergandingan dengan Siti Elizad, Elizabeth Tan dan Thanuja.

INFO

Pemenang FFM29:

1) Filem Terbaik: Adiwiraku

2) Pengarah Terbaik: Dain Said (Interchange)

3) Pelakon Lelaki Terbaik: Namron (Redha)

4) Pelakon Wanita Terbaik: Sangeeta Krishnasamy (Adiwiraku)

5) Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Shaheizy Sam (Interchange)

6) Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Diana Danielle (Hanyut)

7) Pengarah Harapan: Tunku Mona Riza (Redha)

8) Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Harith Haziq (Redha)

9) Pelakon Wanita Harapan: June Lojong (Redha)

10) Pelakon Lelaki Harapan: John Tan (You Mean The World To Me)

11) Lakon Layar Terbaik: Saw Teong Hin (You Mean The World To Me)

12) Sinematografi Terbaik: Jordan Chiam (Interchange)

13) Cerita Asal Terbaik: Jason Chong (Adiwiraku)

14) Kostum & Busana Terbaik: Akma Suriati Awang (Hanyut)

15) Anugerah Khas Juri (Kesan Khas Visual): Desolasi (Skop Productions Sdn Bhd)

16) Anugerah Khas Juri (Kesedaran Sosial): Shuttle Life (MM2 Film Distribution Sdn Bhd)

17) Anugerah Khas Juri (Kupasan Isu Najis Dadah): Pekak (Grand Brilliance Sdn Bhd dan

Lightbulb Pictures)

18) Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman: Datuk Yusof Haslam

19) Anugerah Penggiat Belakang Tabir: Johan Ibrahim

20) Filem Box Office: Abang Long Fadil 2 (Skop Production Sdn Bhd & Astro Shaw)

21) Penataan Bunyi Terbaik: Daniel (Hanyut)

22) Penataan Seni Terbaik: Zaharah Nakibullah (Interchange)

23) Suntingan Terbaik: Nazim Shah (J Revolusi)

24) Skor Muzik Terbaik: David Koon (You Mean The World To Me)

21 dibaca
Berita Harian X