Jumaat, 5 April 2019 | 9:01pm
NELYDIA memberi bayangan bakal menamatkan zaman gadisnya, esok menerusi perkongsian gambar di Instagram. Foto IG Nelydia Senrose

Nelydia Senrose nikah esok?

KUALA LUMPUR: Keterangan dalam satu perkongsian yang dimuat naik pelakon, Nelydia Senrose di Instagram, beberapa jam lalu bagaikan memberi bayangan dia bakal menamatkan zaman gadisnya, esok.

Nelydia atau nama lengkapnya, Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 24, dalam perkongsian itu menulis: ‘Saya akan bertemu kamu di hari nikah esok’, bagaikan menjawab persoalan mengenai hari bahagianya dengan jejaka yang hanya diperkenalkan sebagai Hafiz.

Meskipun enggan membuka mulut ketika ditanya mengenai perkara itu, BH Online difahamkan, majlis pernikahan pasangan itu akan berlangsung secara tertutup di sebuah lokasi di ibu negara, esok.

Spekulasi mengenai hari bahagia pelakon drama Encik Imam Eskpres itu mula diperkatakan apabila Nelydia berkongsi gambar cincin di laman Twitternya, sekali gus memberi bayangan dia sudah dilamar ahli perniagaan itu, tahun lalu.

Desas-desus itu diperkuatkan lagi apabila Nelydia hadir bersama Hafiz ketika meraikan sambutan hari ulang tahun kelahiran Datuk Seri Siti Nurhaliza pada awal tahun ini.

Nelydia sebelum ini, memaklumkan dia sudah bersedia mendirikan rumah tangga selepas kembali dari menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah, Disember lalu.

Dia juga tidak menyembunyikan kenyataan itu apabila membuat pengakuan bakal menamatkan zaman gadis menerusi perkongsian beberapa video sempena majlis parti bujang di laman sosialnya, awal bulan lalu.

Berita Harian X