Sabtu, 9 March 2019 | 7:42pm
PELAKON, Keith Foo, kini turut menumpukan perhatian kepada aktiviti amal. - Foto Nurul Syafina Jemenon

Setiap rumah tangga ada pasang surutnya - Keith Foo

KUALA LUMPUR: Aktor, Keith Foo, menafikan sudah berpisah dengan isterinya, Kim Raymond, malah menjelaskan hubungan mereka masih dalam keadaan baik.

Enggan melatah dengan gosip bertebaran di alam maya, Keith mengambil pendekatan untuk tidak membiarkan anasir negatif membelenggu kehidupannya.

Bagi bintang Ariana Rose dan Love You Mr Arrogant ini, setiap perkahwinan pasti ada pasang surutnya, namun segala permasalahan harus diselesaikan secara bersama.

“Hubungan kami baik-baik sahaja dan tiada apa yang ingin dikongsikan mengenai perkara itu. Biasalah, semua rumah tangga ada pasang surutnya dan perkahwinan mana yang tidak mempunyai masalah? Kita hanya manusia dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

“Apa yang penting, segala masalah dibincang dan diselesaikan bersama. Kadang kala, mereka di luar sana seperti lebih mengetahui perihal rumah tangga saya daripada empunya badan sendiri.

“Sejak dahulu lagi saya memilih untuk tidak memberikan sebarang reaksi terhadap perkara sebegini. Asalkan ia tidak memberikan sebarang kesan kepada saya, gosip seperti ini selalunya dibiarkan lenyap begitu sahaja,” katanya kepada BH Online.


KEITH Foo dan Kim Raymond. - Foto Instagram Keith Foo

Status rumah tangga pelakon berusia 36 tahun itu dikatakan menjadi tanda tanya apabila Keith dan Kim jarang berkongsi gambar masing-masing di laman sosial mereka, sejak akhir-akhir ini.

Malah, aktor itu yang mendirikan rumah tangga dengan Kim pada 2015 juga sering memuat naik gambar anak perempuan mereka, Skylar Raymond Foo, dengan keterangan berbaur kerinduan.

Sementara itu, Keith menjelaskan, dia tidak berdepan kesukaran untuk menguruskan anak perempuannya yang sudah menunjukkan sikap suka berdikari pada usia dua tahun.


BERSAMA anak perempuannya, Skylar Raymond Foo. - Foto Instagram Keith Foo

“Anak saya kini sudah mula hendak mencantum ayat biarpun belum berusia dua tahun. Malah, dia juga senang diuruskan kerana tahu rutin harian seperti waktu makan, tidur, menonton televisyen dan sebagainya. Saya kagum melihat perkembangannya yang pesat walaupun dilahirkan tidak cukup bulan.

“Malah, saya dan isteri memilih untuk menghantarnya ke ‘playschool’ sejak awal lagi kerana ingin mendidiknya belajar berkawan dan bergaul. Kami berasakan penting untuk kanak-kanak meluangkan masa bersama bagi menjana perkembangan minda mereka,” kata Keith.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Keith yang sudah lama tidak dilihat kelibatnya di kaca televisyen bakal menganjurkan majlis amal derma darah dalam tempoh terdekat.

Berita Harian X