Rabu, 27 Februari 2019 | 1:37pm
BELLA mendakwa rumah tangganya kembali bergolak apabila suaminya menjalin hubungan dengan pelakon baharu. Foto IG Bella Astillah

Rumah tangga Aliff Aziz bergolak lagi?

KUALA LUMPUR: “Setiap kali solat, saya minta kepada Allah supaya memberikan petunjuk. Tidak sangka doa saya dijawab dengan begitu cepat. Sangat cepat.

“Terima kasih kepada insan yang memaklumkan saya menerusi mesej secara langsung (DM). Jika tidak, saya tidak tahu apa-apa kerana saya hanya dengan anak di rumah,” kata Bella Astillah.

Isteri kepada penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz itu dalam satu hantaran di laman sosial, Instagram mendakwa, rumah tangga mereka kembali dilanda kemelut apabila suaminya dikatakan menjalin hubungan dengan pelakon baharu.

Bella, 25, dalam kenyataan itu mengakui, tidak menduga akan kembali berdepan kemelut yang pernah dilalui dalam rumah tangganya, dua tahun lalu.

“Selepas kejadian pertama dulu, saya memberinya peluang kerana setiap manusia melakukan kesilapan, selain memikirkan anak yang masih kecil.

“Tetapi, dia buat hal lagi dengan pelakon gandingannya selepas selesai penggambaran sebuah telefilem, baru-baru ini.

“Dia sudah mula menunjukkan perubahan dua hari sebelum penggambaran selesai apabila menukar kata laluan telefon bimbit,” katanya.

Bella mendakwa, suaminya bagaimanapun sudah memadam semua mesej di aplikasi, WhatsApp, selain dia turut menghubungi pelakon wanita itu untuk mendapatkan kepastian.

Kakak kepada penyanyi Didi Astillah itu berkata, pelakon itu bagaimanapun menafikan mereka menjalin hubungan, malah meminta keizinannya untuk bertemu Aliff bagi meleraikan kemelut yang melanda.

“Dia kononnya mahu menasihati Aliff supaya kembali kepada Allah, tetapi saya tidak sangka individu itu sebenarnya yang keluar bersama-sama suami untuk berhibur.

“Saya cuma mahu mengingatkan suami, hiburan di dunia ini hanya sementara. Jika Aliff bahagia dengan kehidupan seperti itu dan sudah bertemu pasangan yang serasi, teruskan,” katanya.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Ayden Adrean pada 8 Julai 2017.

Rumah tangga mereka pernah berdepan kemelut pada Julai 2017 apabila Aliff dikaitkan dengan dakwaan mengasari isterinya yang masih berpantang, selain menjalin hubungan dengan pelakon, Afifah Nasir.

3323 dibaca
Berita Harian X