Rabu, 26 Julai 2017 | 12:05am

Puteri Aishah, SM Faisal bercinta?

KUALA LUMPUR: Pelakon yang sedang mencipta nama di arena seni tanah air, Puteri Aishah, mengaku berkawan dengan usahawan terkenal sebuah syarikat automotif, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin.

Begitupun, kata finalis pertandingan Dewi Remaja 2014/2015 berkenaan, perhubungan itu tidaklah sampai ke tahap bercinta, sebaliknya lebih kepada persahabatan biasa.

"Siapalah saya jika hendak dibandingkan dengan dirinya (merujuk kepada Faisal). Saya orang biasa dan dia pula 'somebody'. Kami pun baru saja berkenalan. Saya mengenalinya menerusi sepupu beliau, Yana, yang juga teman baik saya.

"Memang kami sekadar berkawan, tidak lebih daripada itu. Saya sendiri baru dua atau tiga kali keluar dengannya. Kebetulan, ketika saya dan Yana keluar bersama, dia ada mengajak Faisal melepak sekali," katanya ketika dihubungi BH Plus.


PUTERI Aishah mengaku berkawan dengan SM Faisal. - Foto ihsan Puteri Aishah

PUTERI Aishah kini sedang menjalani penggambaran drama Mr Hot Guy, bagi slot Akasia TV3. - Foto Instagram @puteriaishah_

Sejak semalam, alam maya kecoh dengan cerita mengenai persahabatan yang terjalin antara pelakon berusia 23 tahun itu dengan Faisal, 37, apabila masing-masing berkongsi gambar dan video memaparkan diri mereka bersama di laman sosial Instagram.

Susulan perkongsian berkenaan, pelbagai spekulasi menjelma, malah ada pihak mengandaikan kedua-duanya kini menjalinkan hubungan cinta.

Netizen pula rata-rata menyambut baik perkongsian gambar berkenaan, selain mengucapkan tahniah kerana menyangka mereka sebagai pasangan kekasih.

Pelakon drama Cinta Roller Coaster itu memberitahu, wanita lain di luar sana tidak perlu risau kerana hakikatnya tiada hubungan serius terjalin antara dirinya dengan ahli perniagaan terbabit.


PUTERI Aishah adalah finalis pertandingan Dewi Remaja 2014/2015. - Foto Instagram @puteriaishah_

PELAKON yang sedang mencipta nama di arena seni tanah air, Puteri Aishah. - Foto Instagram @puteriaishah_

"Memang ada wanita yang tulis tanda pagar '#Melepas' di bawah gambar kami berdua. Sebab itu saya tulis tanda pagar '#bagichance' pula di bawah gambar sendiri, dengan niat berseloroh. Tak perlu risau, memang tiada apa-apa antara kami," katanya.

Menyentuh kerjaya lakonannya, kata Puteri Aishah, beliau sedang melunaskan baki penggambaran drama adaptasi novel, Mr Hot Guy, bagi slot Akasia TV3.

"Bagaimanapun, judul drama berkenaan ditukar kepada Lelaki Itu Pilihan Hatiku. Dalam drama ini, saya digandingkan dengan pelakon, Raja Afiq.

"Drama berkenaan berkemungkinan besar menemui penonton pada penghujung tahun ini.

"Sebuah lagi drama lakonan saya, Air Mata Di Bumi Matador, juga akan disiarkan dalam tempoh lebih kurang sama, menerusi saluran RTM. Selain itu, saya juga sedang menantikan tayangan filem Pulang arahan Kabir Bhatia. Ia dijadualkan memasuki pawagam pada tahun depan," katanya.

INFO

  • Puteri Aishah dilahirkan pada 6 Jun 1994 dan berasal dari Kuala Lumpur.
  • Memiliki diploma dalam jurusan Pengajian Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).
  • Puteri Aishah pernah menjadi guru pelatih di sebuah sekolah rendah dan gambarnya menjadi viral pada 2014.
  • Mula berlakon dalam drama Akulah Balqis (2015) dengan memegang watak sampingan.
  • Pada 2016, beliau memegang watak utama dalam drama Cinta Roller Coaster siaran TV3.


PUTERI Aishah pernah menjadi guru pelatih di sebuah sekolah rendah dan gambarnya menjadi viral pada 2014.

Berita Harian X