Khamis, 7 November 2019 | 12:52pm
Kawasan ladang yang dipenuhi dengan sisa kapas selepas proses menuai di Trangie, Australia. Foto Reuters

Australia lancar pelan atasi kemarau

SYDNEY: Australia mengumumkan pakej bantuan besar-besaran bagi membantu menangani masalah kemarau, ketika kerajaan berdepan tuduhan bahawa dasar yang dilaksanakan gagal membendung krisis berkenaan.

Perdana Menteri, Scott Morrison mendedahkan bahawa pakej berkenaan menawarkan pinjaman kos rendah bernilai sekitar AUD1 bilion (RM2.84 bilion), bertujuan membantu petani yang berdepan masalah kemarau terbabit.

Ketika ini, beberapa kawasan di Australia tidak menerima hujan selama beberapa bulan, hingga memaksa petani mendapatkan air, walaupun terpaksa mengeluarkan kos tinggi, menjual ternakan atau meninggalkan ladang masing-masing.

Krisis itu turut mengancam beberapa bandar dan perkampungan, selain kehidupan di kawasan pedalaman negara itu.

Menurut Biro Meteorologi Australia, tempoh 18 bulan kebelakangan ini, mencatatkan kadar hujan paling rendah, terutama di New South Wales dan negeri di selatan Australia, selain di wilayah utara serta barat Australia. - AFP

Berita Harian X