Khamis, 5 September 2019 | 1:52pm
New Zealand hari ini mengumumkan rancangan untuk melindungi kawasan saliran air. - Ihsan laman web www.agscience.org.nz

NZ umum rancangan pelihara sungai, tasik tercemar

WELLINGTON: New Zealand hari ini mengumumkan rancangan untuk melindungi kawasan saliran air, susulan kritikan meluas terhadap industri pertanian dan pelancongan berlebihan hingga mencemar tasik dan sungai, menjejaskan imej alam sekitar negara, kata kerajaan.

Peraturan baru itu berkuatkuasa terhadap kegiatan pertanian intensif, naik taraf tanah untuk tujuan penternakan dan jumlah baja sintetik yang boleh digunakan petani di ladang.

Kerajaan dalam satu kenyataan berkata, standard yang tinggi dikenakan di tempat tumpuan pelancong berenang.

Menteri Alam Sekitar, David Parker berkata dalam kenyataan, sungai, tasik dan saliran air terancam selepas beberapa tahun terbiar.

“Air bersih sangat penting kepada ekonomi dan sebagai jenama kepada negara kita. Eksport utama dan pelancongan sangat bergantung kepada imej hijau dan bersih,” katanya.

Industri penternakan yang meningkat, bersama pelancong yang mencari tarikan semula jadi yang tidak tercemar, membuatkan New Zealand terpaksa membayar harga alam sekitar yang dipasarkan 100 peratus asli.

Menurut pakar, negara itu memiliki rangkaian sungai dan tasik yang bersih, ada antaranya kini lebih tercemar antara beberapa negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Kementerian Alam Sekitar berkata laporan yang dikeluarkan pada 2014 mendapati, kira-kira 60 peratus saliran air di New Zealand ketika ini tidak sesuai untuk aktiviti berenang dan menurut pakar sejak itu kualiti air terus tercemar.

Sehubungan itu, rancangan yang diperkenalkan kerajaan turut membabitkan ‘risiko’ amalan penternakan dan memastikan penternak mengurus risiko alam sekitar. Ia menjanjikan perlindungan yang kukuh terhadap kawasan paya dan sungai.

Kerajaan New Zealand mensasarkan mencapai peningkatan yang ketara dalam tempoh lima tahu. - Reuters

367 dibaca
Berita Harian X