Ahad, 25 Ogos 2019 | 7:21pm

Polis Australia cari pelombong tertimbus

SYDNEY: Petugas kecemasan tempatan sedang berusaha mencari seorang pelombong yang tertimbus, ketika dinding sebuah lombong bijih mangan runtuh di wilayah Utara, Australia, kata polis, hari ini.

Polis dalam satu kenyataan berkata, dinding lombong mangan di Bootu Creek runtuh petang semalam, menyebabkan pekerja berusia 59 tahun itu ditimbus tanah dan batu.

Penguasa Polis Daerah Wilayah Utara, Christopher Board, memberitahu wartawan di Darwin, kemungkinan besar lelaki itu tidak selamat.

Sehubungan itu, usaha untuk mencari lelaki itu dihentikan atas alasan keselamatan kerana bimbang terhadap kestabilan tapak lombong.

Pekerja operasi Bootu Creek berkata, mereka tidak dapat memberikan sebarang komen ketika Reuters menghubungi menerusi telefon, hari ini.

Lombong yang terletak di utara pinggir bandar Tennant Creek di tengah wilayah Utara Australia, adalah milik OM Holdings sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura.

Menurut laman web syarikat itu, lombong pengeluar bersepadu itu melakukan perdagangan dan melebur bijih di Australia, China, Jepun, Malaysia, Singapura dan Afrika Selatan.

Berdasarkan laporan tahunan OM Holdings yang diterbitkan pada April lalu, lombong Bootu Creek mula dibina pada Januari 2016 sebelum memulakan operasi pada awal 2017.

Ia mengeluarkan hasil kira-kira 814,000 tan bijih mangan pada 2018, sekali gus membantu syarikat meraih keuntungan bersih berganda kepada AS$184.7 juta (RM521.78 juta) pada tahun sama. - Reuters

Berita Harian X