Rabu, 14 Ogos 2019 | 6:24pm
Anggota polis memantau keadaan di Masjid Al-Noor di Christchurch selepas ia dibuka semula pada Mac lalu. Foto Reuters

Surat milik suspek insiden Christchurch disiar di laman sosial

MELBOURNE: Lelaki bersenjata yang dituduh membunuh 51 mangsa di New Zealand menulis sepucuk surat dari dalam penjara, bagi menyatakan pandangan politik serta sosial dan ia dilaporkan sudah dimuat naik di laman 4chan.

Namun, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengkritik tindakan itu dan menganggap ia satu perbuatan yang tidak wajar.

Akhbar New Zealand Herald turut menerbitkan imej surat setebal enam muka berserta sampul surat, dipercayai dari suspek terbabit, Brenton Tarrant yang dihantar dari Penjara Auckland.

Surat itu dikatakan sebagai maklum balas terhadap sepucuk surat yang dihantar kepadanya oleh seorang lelaki dikenali sebagai Alan, yang dilaporkan tinggal di Russia.

“Saya fikir semua rakyat New Zealand menjangkakan bahawa individu ini tidak boleh berkongsi pesanan kebenciannya dari dalam penjara.

“Amat jelas sekali, bahawa pesalah ini mempunyai matlamat yang khusus, untuk berkongsi propagandanya, jadi kita perlu bersedia untuk perkara itu,” kata Ardern.

Banduan dibenarkan menghantar serta menerima surat dan pengarah penjara hanya boleh menghalangnya dalam keadaan tertentu.

“Kami sudah membuat perubahan mengenai prosedur pengurusan surat bagi banduan bagi memastikan prosesnya lebih berkesan seperti yang kita mahukan,” lapor New Zealand Herald yang memetik kenyataan Jabatan Penjara New Zealand. - Reuters

1230 dibaca
Berita Harian X