Selasa, 13 Ogos 2019 | 3:36pm
Wanita dibantu paramedik ketika dimasukkan ke dalam ambulans di Sydney. - Foto EPA

Wanita ditikam di tempat awam

SYDNEY: Tindakan seorang lelaki menikam seorang wanita dan cuba mengulangi perbuatannya berjaya dihalang orang ramai sebelum dia ditahan polis, kata saksi dan pihak berkuasa hari ini.

Menurut polis, wanita itu berada dalam keadaan stabil dan tidak ada sebarang laporan kecederaan lain, melainkan beberapa kali cubaan menikam oleh penyerang yang sama.

Rakaman yang disiarkan media Australia menunjukkan seorang lelaki terjun daripada bumbung kereta dengan memegang pisau, sambil menjerit ‘Allahu Akbar’ dan ‘tembak saya’.

Seorang saksi, Megan Hayley berkata, dia melihat seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an atau 30-an memegang pisau dikejar beberapa orang di kawasan pusat beli belah yang sibuk ketika waktu makan tengah hari.

“Lima atau enam orang mengejar dia, cuba untuk menahan dan akhirnya berjaya menangkap di hadapan kedai di tengah bandar raya,” katanya.

Edward Wong, 24, yang turut menyaksikan kejadian itu berkata, terdapat kesan darah di bahagian dagu dan dada lelaki itu.

Polis memuji keberanian orang ramai yang tampil dan menahan lelaki terbabit dengan menggunakan kerusi dan bakul plastik.

“Menahan seorang lelaki yang terbukti jelas melakukan serangan sebelumnya, mereka adalah wira,” kata jurucakap polis, penguasa, Gavin Wood.

Menurut polis mereka sudah menerima laporan berhubung tindakan lelaki itu, tetapi masih belum dapat memastikan motif tindakan.

“Pada peringkat ini masih dilihat tidak ada arahan untuk melakukan serangan tetapi kami bersikap terbuka dan terus ke depan,” kata jurucakap itu. - AFP

912 dibaca
Berita Harian X