Khamis, 8 Ogos 2019 | 1:22pm
Sebahagian bungkusan kokain yang ditemui hanyut di pantai Bethells di barat Auckland. Foto AFP

Kokain bernilai RM8 juta ditemui hanyut di New Zealand

WELLINGTON: Kokain bernilai jutaan dolar dihanyutkan ke sebuah pantai di New Zealand, hingga memaksa pihak polis meminta orang ramai supaya menyerahkan mana-mana bungkusan yang ditemui.

Polis dikerah ke pantai Bethells di barat Auckland malam tadi, apabila beberapa bungkusan dadah ditemui pantai berkenaan.

“Polis berjaya menemui dan mengesan 19 bungkusan, dan hasil ujian mengesahkan bahawa ia mengandungi kokain,” kata Inspektor Colin Parmenter.

Beliau menganggarkan kokain itu bernilai NZ$3 juta (RM8.1 juta).

Media tempatan melaporkan bahawa bungkusan itu diletakkan di dalam jaring dan dipercayai sudah berada di dalam laut agak lama, iaitu berdasarkan keadaan cangkerang yang ditemui pada jaring berkenaan.

“Walaupun hanya kemungkinan kecil untuk menemui bungkusan lain di pantai terbabit, tetapi kami meminta orang ramai supaya segera menghubungi kami jika terjumpa sebarang bungkusan.

“Kami juga akan menghantar anggota polis untuk memantau pantai ini selama beberapa hari, bagi memeriksa jika ada sebarang bungkusan ditemui di sini,” katanya.

Pada 2016, sebanyak 500 kilogram methamphetamine bernilai hampir NZ$500 juta (RM1.35 bilion) ditemui di sebuah pantai di utara New Zealand. - AFP

Berita Harian X