Isnin, 29 Julai 2019 | 7:18am
Pelombong di wilayah Siguiri. - Foto fail/Google

4 maut bongkah batu tergelincir di Guinea

CONAKRY: Sekurang-kurangnya empat maut, termasuk kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan ibunya, apabila bongkah batu jatuh tergolek di sebuah lombong emas di timur laut Guinea, kata polis dan pegawai semalam.

Kejadian berlaku petang kelmarin di Kintinian, di wilayah Siguiri, kata tokoh terkenal di Kintinian, Mamadi Magassouba.

“Sekurang-kurangnya empat maut dalam kejadian bongkah batu jatuh di lombong,” katanya.

Angka kematian itu disahkan polis dan wakil Palang Merah tempatan.

Dua lagi mangsa yang cedera dibawa ke sebuah hospital di Siguiri, yang terletak kira-kira 600 kilometer ke utara ibu kotanya, Conakry, kata sumber sama.

“Mangsa bekerja di lombong emas lama yang dilarang digunakan akibat risiko batu tergelincir jika berlaku hujan lebat, kata pegawai Palang Merah.

Dalam kejadian Februari lalu, sekurang-kurangnya 17 pelombong emas maut, di sebuah lagi lombong di wilayah itu.

Kejadian bongkah batu tergelincir di lombong emas kerap berlaku di Guinea dan selalunya membawa kematian. — AFP

Berita Harian X