Selasa, 23 Julai 2019 | 5:50pm
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Australia, Peter Dutton. Foto Agensi

Warga Australia sertai Daesh bakal dihalang pulang

SYDNEY: Australia bakal mengenakan sekatan selama dua tahun terhadap rakyatnya, yang menyertai militan Daesh untuk kembali ke negara itu, mengikut undang-undang baharu yang dibahaskan di Parlimen, hari ini.

Undang-undang kontroversi itu akan memberi kuasa kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Peter Dutton untuk memohon ‘perintah pengecualian’, bagi menghalang rakyat yang dipercayai anggota militan daripada kembali ke Australia.

Ia adalah berdasarkan undang-undang sama yang diperkenalkan di United Kingdom, apabila hakim diberi tanggungjawab untuk menentukan sama ada untuk menguatkuasa perintah pengecualian itu.

Pada awal Julai lalu, Dutton memaklumkan Parlimen bahawa rang undang-undang itu menyasar 230 warga Australia, yang berada di Syria dan Iraq selepas menyertai kumpulan militan Daesh.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 80 rakyat Australia dilaporkan masih aktif di zon konflik terbabit.

Bagaimanapun, timbul kebimbangan bahawa cadangan Australia itu bercanggah dengan Perlembagaan, dan memberi lebih kuasa kepada menteri terbabit.

Justeru, jadi parti pembangkang, Parti Buruh menggesa supaya ia dibawa semula ke jawatankuasa risikan dan keselamatan Parlimen, bagi pertimbangan selanjutnya.

Namun, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri (Bayangan), Kristina Keneally, dalam satu kenyataan berkata, pihak pembangkang menyokong rang undang-undang itu, tetapi mahu satu skim yang lebih ‘berperlembagaan, mampu melindungi keselamatan rakyat Australia, serta tidak mampu dicabar di mahkamah tinggi’.

Rang undang-undang itu adalah antara beberapa pendekatan kontroversi yang dibentangkan pada persidangan pertama Parlimen, sejak kerajaan konservatif dipilih semula mentadbir Australia pada Mei lalu. - AFP

Berita Harian X