Jumaat, 19 Julai 2019 | 9:24am
Kejadian gas meletup menyebabkan sebuah rumah terbakar dan beberapa penduduk cedera di Christchurch. Foto Agensi

Gas meletup paksa penduduk Christchurch berpindah

WELLINGTON: Perkhidmatan kecemasan New Zealand memindahkan penduduk di Pulau Selatan, Christchurch susulan insiden gas meletup di kawasan terbabit, hari ini, mengakibatkan sebuah rumah terbakar dan beberapa penduduk cedera.

Bagaimanapun, tiada tanda menunjukkan kejadian itu menjejaskan keselamatan di kawasan terbabit.

Insiden itu berlaku kira-kira empat bulan selepas seorang lelaki melepaskan tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, menyebabkan 51 maut, manakala puluhan lagi cedera.

“Perkhidmatan Kecemasan dan Bomba New Zealand dikerah ke lokasi kejadian, selepas menerima panggilan pada jam 10.15 pagi (waktu tempatan), susulan berlakunya letupan gas.

“Berikutan itu, empat jentera bomba, satu unit arahan pakar dan seorang penyiasat kebakaran dikerah di lokasi,” kata jurucakap perkhidmatan bomba New Zealand.

Dalam satu kenyataan, polis berkata, laporan awal mendapati beberapa mangsa cedera dalam kejadian yang berlaku di kawasan kediaman di pinggir bandar Northwood.

Media tempatan melaporkan enam mangsa yang cedera sudah dibawa ke hospital.

Kejadian itu mengakibatkan sebuah rumah terbakar dan polis terpaksa menutup jalan raya menuju ke lokasi, selain memindahkan penduduk susulan insiden terbabit.

Sementara itu, akhbar New Zealand Herald yang memetik seorang pekerja hotel di Christchurch melaporkan, bunyi dipercayai letupan mengakibatkan beberapa bangunan berhampiran bergegar.

“Ia lebih daripada gempa bumi. Anda fikir bom meletup,” lapor akhbar itu yang memetik pekerja yang enggan mendedahkan identitinya.

Setakat ini, polis masih belum mendedahkan punca kejadian berkenaan. - Reuters

Berita Harian X