Selasa, 7 Mei 2019 | 7:45am
Papua New Guinea

Papua New Guinea dilanda gempa bumi 7.2 magnitud

PORT MORESBY: Gempa bumi dengan kekuatan 7.2 magnitud dilaporkan melanda Papua New Guinea hari ini, pada kedalaman 127 kilometer, namun setakat ini tiada laporan kerosakan diterima.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu melanda kawasan yang terletak kira-kira 33 kilometer dari bandar Bulolo, pagi tadi.

Gegaran turut dirasai di Port Moresby, iaitu ibu negara Papua New Guinea yang terletak kira-kira 250 kilometer dari lokasi terbabit.

“Memandangkan jarak kedalaman pusat gempa, tiada ancaman tsunami dilaporkan,” kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik.

Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dianggarkan kira-kira 110,000 penduduk tinggal dalam lingkungan 50 kilometer dari pusat gempa itu.

Sementara itu, pejabat Pengurusan Bencana Kebangsaan yang berpangkalan di Port Moresby, berkata sehingga kini tiada laporan kerosakan diterima.

“Kami masih menunggu laporan, kerana ia mungkin mengambil masa untuk mendapatkan maklumat dari kawasan yang dilanda gempa bumi,” katanya kepada AFP.

Dalam kejadian gempa bumi pada Februari lalu, sekurang-kurangnya 125 maut selepas gempa bumi dengan kekuatan 7.5 magnitud melanda negara itu. - AFP

620 dibaca
Berita Harian X