Khamis, 2 Mei 2019 | 7:56pm
Pasangan warga tua di Melbourne bantu polis tumpas sindiket import dadah. Foto hiasan

Warga tua bantu tumpas sindiket dadah

MELBOURNE: Pasangan warga tua dilaporkan terkejut, apabila menerima bungkusan mengandungi dadah methamphetamine bernilai jutaan dolar di kediaman mereka, di sini.

“Pasangan itu segera menghubungi pihak polis selepas menyedari beg yang diterima semalam, mengandungi serbuk putih,” kata jurucakap polis.

Menurut polis, bungkusan itu mengandungi 20 kilogram methamphetamine, yang dianggarkan bernilai AU$10 juta (RM29.09 juta).

Berikutan itu, polis mengadakan serbuan di sebuah kediaman di satu lagi kawasan Melbourne dan berjaya menemui 20 kilogram lagi dadah berkenaan, selain menahan seorang lelaki berusia 30 tahun.

“Lelaki itu didakwa kerana mengimport sejumlah dadah yang dikawal dan bakal dihadapkan ke mahkamah hari ini,” kata polis.

Pada masa sama, polis meminta kerjasama pihak media supaya tidak mendedahkan identiti pasangan warga tua itu, atas alasan keselamatan. - AFP

351 dibaca
Berita Harian X