Selasa, 30 April 2019 | 1:19pm
Polis Australia mengesan bahan letupan di pinggir bandar Adelaide, semalam. Foto hiasan

Polis Australia berkas lelaki miliki bahan letupan

SYDNEY: Pakar bom bertungkus lumus memusnahkan bahan letupan yang ditemui di sebuah rumah di pinggir bandar Adelaide, hari ini, susulan penahanan seorang lelaki berusia 43 tahun.

Polis Australia Selatan berkata, bahan berkenaan ditemui semalam dan lelaki terbabit dihadapkan ke mahkamah hari ini, atas tuduhan memiliki bahan letupan.

“Siasatan masih dijalankan di lokasi berkenaan. Tiada ancaman bahaya kepada orang ramai.

“Unit Tindakan Bom juga sudah ditempatkan di kawasan itu,” kata polis dalam satu kenyataan.

Sementara itu, stesen penyiaran ABC melaporkan, lelaki itu mendapat perhatian pihak berkuasa sejak awal tahun ini, susulan beberapa kenyataan anti Islam, yang dimuat naik di media sosial.

Media tempatan melaporkan, bahan peledak kimia terbabit sering digunakan oleh kumpulan militan. - AFP

206 dibaca
Berita Harian X