Isnin, 8 April 2019 | 6:12pm
Seekor daripada hampir 100 ikan paus yang ditempatkan di dalam sangkar di wilayah Primorsky, Russia. Foto Reuters

Russia bebas 100 ikan paus ke habitat asal

MOSCOW: Hampir 100 ikan paus yang kini ditempatkan di beberapa sangkar di Timur Jauh Russia, akan dilepas ke lautan tidak lama lagi, selepas tertangguh selama beberapa bulan.

Agensi berita TASS melaporkan perkara itu ketika memetik kenyataan Gabenor Wilayah Primorsky, Oleg Nikolayevich Kozhemyako.

Imej sekumpulan ikan paus yang dikurung di dalam sangkar sempit di sebuah teluk berhampiran bandar pelabuhan, Nakhodka di Selat Jepun, mencetuskan kritikan pelbagai pihak apabila ia disiarkan tahun lalu.

Haiwan itu dikatakan ditangkap sebuah syarikat yang merancang menjualnya kepada pembeli di China.

Namun, nasib ikan paus itu berubah hasil campur tangan Kremlin, yang mengarahkan pihak berkuasa tempatan mencari jalan bagi membebaskan haiwan berkenaan.

Keputusan untuk membebaskan haiwan itu adalah susulan lawatan oleh ahli oseanografi Perancis, Jean-Michel Cousteau, yang juga anak lelaki pakar marin terkenal, Jacques Cousteau.

“Satu keputusan rasmi sudah dibuat untuk membebaskan kesemua ikan paus itu ke lautan.

“Sekumpulan saintis daripada kumpulan Cousteau dan Russia akan memutuskan bila serta lokasi haiwan itu akan dibebaskan,” kata Kozhemyako ketika dipetik TASS.

Beliau juga dipetik berkata, pihak berkuasa akan membina satu kemudahan pemulihan khas untuk ikan paus, di lokasi paling hampir dengan habitat semulajadi haiwan itu, bagi memudahkan usaha merawat mereka.

Terdahulu, Kremlin dilaporkan berkata, 11 ikan paus orca dan 87 ikan paus beluga ditahan secara kejam, sebelum dijual kepada pemilik akuarium serta pembeli dari China. - Reuters

266 dibaca
Berita Harian X