Jumaat, 22 March 2019 | 1:11pm
Keadaan di tanah Perkuburan Memorial Park dimana jenazah mangsa serangan beramai-ramai dikebumikan, hari ini. - Foto AFP

26 lagi mangsa tembakan Christchurch dikebumikan

CHRISTCHURCH: Seramai 26 lagi jenazah termasuk seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam serangan beramai-ramai di dua buah masjid di sini, selamat dikebumikan di kawasan Perkuburan Memorial Park, lapor media tempatan, hari ini.

Menurut laporan New Zealand Herald, mangsa paling muda, Mucaad Ibrahim, 3, terbunuh ketika serangan di Masjid Al Noor di tengah bandar raya selepas terpisah daripada bapanya ketika menghadiri solat Jumaat, di masjid itu.

Kira-kira 5,000 orang hadir mengiringi semua jenazah dan proses pengebumian bermula kira-kira jam 4.00 petang waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia).

Kebanyakan yang hadir terdiri daripada jemaah yang baru selesai solat Jumaat di Hagley Park yang disaksikan kira-kira 15,000 orang.

Hadir sama untuk memberikan penghormatan kepada semua jenazah adalah bintang ragbi terkemuka New Zealand, Sonny Bill Williams.

Mengikut ajaran Islam jenazah perlu dikebumikan sebaik saja kematian berlaku tetapi dalam kes yang membabitkan polis ia memerlukan pengecaman identiti 50 mangsa dalam tragedi serangan pada Jumaat lalu.

Pengebumian hari ini adalah yang terakhir membabitkan serangan di Christchurch, manakala mangsa yang lain dikebumikan di bandar raya lain atau di negara asal. - Agensi

1085 dibaca
Berita Harian X