Isnin, 18 Februari 2019 | 3:26pm
Canberra diminta beri penjelasan berhubung pemberian kontrak penyelenggaraan di tiga kem pelarian Pasifik bernilai jutaan dolar kepada sebuah syarikat. - Foto AFP

Canberra dituntut jelas kenapa syarikat 'pondok' dapat kontrak

SYDNEY: Canberra berada dalam tekanan kerana dipaksa memberi penjelasan berhubung pemberian kontrak penyelenggaraan di tiga kem pelarian Pasifik bernilai jutaan dolar kepada sebuah syarikat yang menggunakan alamat sebuah pondok di tepi pantai.

Syarikat Paladin Holdings yang berdaftar di Singapura itu di berikan tender bernilai lebih Aus$420 juta (RM1.22 bilion) dalam bentuk kontrak untuk menyelenggara keselamatan di tiga pusat pemindahan pelarian di Pulau Manus Papua New Guinea (PNW).

Operasi itu adalah sebahagian daripada dasar tegas Canberra terhadap pencari suaka politik yang cuba masuk ke Australia dengan menaiki bot menuju ke kawasan pantai pedalaman di Pasifik, menempatkan beratus-ratus pelarian yang terkandas selama lima tahun.

Apa yang menjadi tanda tanya ketika ini adalah kenapa Paladin diberi kontrak selepas media tempatan pernah melaporkan syarikat itu tidak berpengalaman, tidak mempunyai modal besar dan ada hubung kait dengan ahli politik kanan di PNW.

Menurut Kajian Kewangan Australia, alamat pejabat Paladin berdaftar di sebuah pondok di pantai Australia di Pulau Kangaroo, sebuah tempat perlindungan hidupan liar asli di luar pantai Australia Selatan.

Menurut laporan media tempatan, selepas laporan itu didedahkan minggu lalu, Paladin menukar alamat ke sebuah pejabat di Canberra.

Peguam Negara, Christian Porter mempertahankan keputusan pemberian kontrak keselamatan kepada Paladin dengan menjelaskan kepada penyiar ABC bahawa tender PNG itu adalah tertakluk kepada proses pemerolehan Komanwel yang bebas.

“Saya pasti dakwaan itu akan disiasat secara menyeluruh,” katanya berhubung laporan yang mempersoalkan saiz dan proses kontrak yang diberikan kepada Paladin.

Katanya apa yang pasti, melakukan operasi di luar negara seperti di Papua New Guinea dan di Nauru membabitkan kos yang sangat tinggi.

Porter berkata, laporan yang mengaitkan Paldan dan keluarga ahli politik kanan PNG perlu disiasat secara terperinci.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Peter Dutton, yang portfolionya membabitkan penahanan luar pesisir, minggu lalu mengelak diri daripada proses tender yang dilaporkan ditutup, dengan menjelaskan ia diuruskan oleh pegawai peringkat rendah. - AFP

Berita Harian X