Isnin, 18 Februari 2019 | 11:05am
Morrison mendakwa serangan siber ke atas rangkaian komputer Parlimen didalangi negara asing. Foto Agensi

Australia dakwa negara asing dalang serangan siber

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, berkata serangan siber ke atas penggubal undang-undang Australia baru-baru ini, dipercayai didalangi negara asing.

Beliau berkata, ia turut menjejaskan rangkaian parti politik utama menjelang pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada Mei ini.

Baru-baru ini, kesemua penggubal undang-undang diminta menukar segera kata laluan masing-masing, selepas agensi perisikan siber Australia mengesan serangan ke atas rangkaian komputer Parlimen.

Morrison ketika membentangkan laporan awal siasatan berkata, penggodam berjaya menyerang rangkaian parti politik utama Australia.

“Pakar siber percaya negara asing bertanggungjawab terhadap aktiviti berniat jahat ini.

“Kami juga sedar rangkaian membabitkan beberapa parti politik utama, iaitu Liberal, Buruh dan Kebangsaan turut terjejas,” katanya kepada Parlimen.

Namun, Morrison tidak mendedahkan mengenai maklumat yang berjaya digodam, tetapi berkata tiada bukti menunjukkan terdapat campur tangan dalam proses pilihan raya.

Beliau juga tidak mendedahkan nama mana-mana suspek, tetapi penganalisis kerajaan berkata, China, Russia dan Iran disyaki dalang kejadian berkenaan. - Reuters

332 dibaca
Berita Harian X