Isnin, 11 Februari 2019 | 12:28pm
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran hutan di Nelson, New Zealand. - Foto AFP

Kebakaran hutan New Zealand reda, 3,000 penduduk mulai pulang

WELLINGTON: Kira-kira 3,000 penduduk kampung yang dipindahkan akibat kebakaran hutan di sini, bakal kembali ke kediaman masing-masin tidak lama lagi, apabila api berhampiran kawasan berpenduduk mula beralih, kata bomba, hari ini.

Penduduk di Wakefield, di bahagian luar Nelson di kawasan utara Pulau Selatan negara itu, di arahkan berpindah pada Sabtu lalu, sebaik saja api mula merebak kira-kira dua kilometer dari kediaman mereka.

Kebakaran itu bermula awal minggu lalu ketika cuaca panas melanda kawasan hutan tebal dan setakat pagi ini ia sudah memusnahkan kawasan seluas 3,400 hektar.

Ketua Bomba, John Sutton berkata walaupun keadaan mulai reda, tetapi api masih sukar diramal dan masih terlalu awal untuk mengatakan ia terkawal.

“Bahang panas masih terasa di kawasan itu dan masih banyak kawasan masih belum terbakar. Walaupun kami berjaya memulihkan keadaan tetapi beberapa anggota bomba akan terus ditugaskan sehingga Mac depan.

Ketua Daerah Pertahanan Awam, Roger Ball berkata, penduduk Wakefield boleh pulang ke kediaman masing-masing seawal petang ini tetapi kawasan itu masih diisytiharkan darurat.

“Penduduk yang pulang perlu memahami dan menerima mereka perlu bersiap-sedia untuk dipindahkan semula jika keadaan berubah,” katanya.

Katanya, penduduk yang berada di kawasan perkampungan di luar lembah, lebih hampir dengan kebakaran, perlu terus berada di kawasan perlindungan sementara yang disediakan hingga dimaklumkan semula.

Punca kebakaran itu dipercayai tidak disengajakan bermula dengan peralatan ladang, walaupun polis dimaklumkan berlaku dua letupan yang dipercayai dilakukan dengan sengaja.

Setakat ini sebuah rumah musnah akibat kebakaran itu dan tidak ada kematian atau kecederaan dilaporkan. - AFP

121 dibaca
Berita Harian X