Sabtu, 9 Februari 2019 | 2:10pm
Imej ribut yang berjaya dirakamkan di Sydney, semalam. Foto AFP

Ribut jejas ribuan penduduk di Sydney

SYDNEY: Ribuan kediaman di sini, terputus bekalan elektrik hari ini, susulan taufan melanda bandar raya terbesar di Australia itu, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kenderaan ditenggelami air.

Hujan lebat dan ribut petir melanda Sydney lewat semalam, dengan jumlah hujan dicatatkan sebanyak 60 milimeter di beberapa kawasan.

Bahagian barat Sydney turut dilanda banjir kilat, apabila hujan hampir 42 milimeter dicatatkan dalam tempoh 30 minit.

“Ribut bergerak dengan agak perlahan dan udara lembap tetapi hangat bertiup di sepanjang pantai, menyebabkan kadar kelembapan meningkat,” kata jurucakap Biro Meteorologi New South Wales, Byron Doyle kepada AFP.

Imej kereta ditenggelami air di jalan raya utama, lampu isyarat yang tidak berfungsi dan pokok tumbang turut tular di media sosial.

Dalam pada itu, syarikat tenaga melaporkan, lebih 40,000 terjejas selepas bekalan elektrik terputus tetapi ia berjaya dipulih, dan kini hanya lebih 5,000 penduduk masih mengalami masalah itu. - AFP

684 dibaca
Berita Harian X