Sabtu, 9 Februari 2019 | 12:47pm
Hakeem Al Araibi, pelarian warga Bahrain yang menetap di Australia dibawa ke mahkamah di Bangkok, minggu lalu. Foto AFP

Dua penyelam Australia mohon Thailand bebas pelarian Bahrain

SYDNEY: Dua penyelam yang membantu menyelamatkan remaja dan jurulatih yang terperangkap di dalam gua di Chiang Rai, Julai lalu, dilapor menulis surat kepada Perdana Menteri Thailand bagi memohon pembebasan pemain bola sepak warga Bahrain yang memilik status pelarian di Australia.

Kes membabitkan Hakeem Al Araibi, 25, menerima kritikan masyarakat antarabangsa selepas mahkamah Thailand menerima permohonan ekstradisi dari Bahrain.

Ia bagi membolehkan beliau menjalani hukuman penjara selama 10 tahun, kerana terbabit dalam peristiwa kebangkitan dunia Arab pada 2011, namun Hakeem menyangkal tuduhan itu.

Hakeem ditahan di lapangan terbang Bangkok pada November lalu ketika tiba dari Australia bersama isterinya.

Beliau mendakwa bakal didera jika ditahan di Bahrain dan memohon untuk kembali ke Australia, lokasi dia tinggal sejak 2014, selain bermain bola sepak untuk sebuah kelab bola sepak di Melbourne.

Penyelam terbabit, Richard Harris dan Craig Challen menerima anugerah khas dari Kerajaan Australia bulan lalu, kerana membantu menyelamatkan anggota pasukan bola sepak remaja dan pembantu jurulatih yang terperangkap di dalam gua Tham Luang, tahun lalu.

“Mereka menyertai kumpulan kempen bagi mendesak pembebasan Hakeem dengan menulis surat kepada Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha,” lapor ABC News.

Sementara itu, Challen mengesahkan bahawa sepucuk surat sudah dihantar tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut ketika dihubungi Reuters, hari ini. - Reuters

547 dibaca
Berita Harian X