Jumaat, 8 Februari 2019 | 10:28am
Pihak berkuasa sedang menyiasat insiden serangan siber ke atas sistem rangkaian komputer Parlimen Australia. Foto Agensi

Rangkaian komputer Parlimen Australia alami serangan siber

SYDNEY: Australia hari ini, mendedahkan bahawa rangkaian komputer Parlimen negara itu mengalami serangan keselamatan yang tidak diketahui, dan siasatan mengenainya sedang dijalankan.

“Susulan insiden keselamatan membabitkan rangkaian komputer di Parlimen, beberapa pendekatan sudah dilaksanakan bagi melindunginya dan pengguna,” kata jurucakap Parlimen dalam satu kenyataan.

Namun, pihak terbabit enggan mengulas mengenai kejadian pelanggaran keselamatan siber itu, tetapi berkata, tiada bukti awal yang menunjukkan bahawa data berjaya diakses.

“Kami tidak mempunyai bukti bagi menunjukkan ia adalah satu cubaan untuk mempengaruhi proses Parlimen atau mengganggu atau menjejaskan proses pemilihan atau politik.

“Fokus utama kami adalah bagi menjamin keselamatan, melindungi data dan penggunanya,” kata kenyataan itu.

Katanya, semua kata laluan laman web Parlimen turut diatur semula sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam pada itu, Direktorat Isyarat Australia (ASD) mengesahkan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan pihak Parlimen bagi mengawal serangan itu. - AFP

190 dibaca
Berita Harian X