Jumaat, 8 Februari 2019 | 7:48am
Penduduk memindahkan perabot yang berjaya diselamatkan dalam kejadian banjir di Townsville, Queensland, Australia. Foto EPA

Air empangan dilepaskan paksa penduduk berpindah

MELBOURNE: Lebih 1,100 penduduk terpaksa dipindahkan apabila hujan lebat dan berterusan memaksa pihak berkuasa membuka pintu empangan di Queensland berikutan air semakin melimpah.

Perkhidmatan kecemasan juga terpaksa mengendalikan ribuan panggilan daripada penduduk di Townsville, selepas pusat pemindahan semakin dipenuhi dengan penduduk.

Pada masa sama, kehadiran buaya di jalan raya di pinggir bandar itu yang berjaya dirakam penduduk, turut disebarkan menerusi media sosial.

“Saya tidak pernah melihat ia berlaku sebelum ini. Peristiwa yang berlaku sekali dalam tempoh seabad sedang terjadi di sini,” kata Perdana Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk dalam satu temu bual dengan stesen televisyen, Australian Broadcasting Corp.

Palaszczuk berkata, ribuan kediaman turut terjejas akibat banjir berkenaan.

Menurut Biro Meteorologi, hujan sebanyak 1.16 meter direkodkan di kawasan Townsville dalam tempoh tujuh hari dan 100 milimeter lagi hujan diramalkan berlaku pada Isnin ini. - Reuters

1480 dibaca
Berita Harian X