Selasa, 5 Februari 2019 | 4:39pm
Anggota polis memeriksa lokasi dua mayat yang ditemui dalam kejadian banjir di Townsville, Queensland, Australia. Foto EPA

Banjir di Australia ragut dua nyawa

TOWNSVILLE (Australia): Dua mayat ditemui di timur laut Australia yang sedang dilanda banjir, ketika hujan lebat masih berterusan dan pihak berkuasa sudah mengeluarkan amaran banjir kilat di kawasan terbabit.

Perdana Menteri, Scott Morrison turut mengunjungi kawasan berkenaan, dan menyaksikan ribuan kediaman dan kereta ditenggelami air, selain memaksa lapangan terbang serta sekolah ditutup.

Beliau turut mengingatkan penduduk mengenai tempoh pemulihan yang sukar, ketika banjir mulai surut di beberapa kawasan.

“Ia akan menjadi lebih sukar untuk seketika. Apa yang perlu dilakukan adalah memastikan mereka (penduduk) dalam melalui proses pembersihan dan pemulihan, serta meneruskan kehidupan mereka,” katanya yang bersimpati dengan nasib penduduk yang kehilangan kediaman masing-masing.

Sementara itu, di Townsville, lebih 650 penduduk sudah dipindahkan dan kira-kira 11,000 kediaman masih terputus bekalan elektrik.

Polis berkata, dua mayat ditemui dalam banjir di Townsville susulan usaha mengesan dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an, yang kali terakhir dilihat semalam. - AFP

165 dibaca
Berita Harian X