Jumaat, 1 Februari 2019 | 4:43pm
Behrouz Boochani, pelarian warga Iran diumumkan pemenang Hadiah Victoria bagi kesusasteraan menerusi buku bertajuk No Friend but the Mountainsdalam satu majlis di Australia, semalam. Foto Agensi

Pelarian Iran ungguli anugerah kesusasteraan Australia

SYDNEY: Buku tulisan seorang pelarian warga Iran yang kini ditahan di sebuah pusat tahanan terpencil di Pasifik, berjaya memenangi hadiah utama kesusasteraan Australia, sekali gus meraih hadiah wang tunai AS$100,000 (RM408,947).

Behrouz Boochani, menulis buku bertajuk ‘No Friends but the Mountains’ menggunakan telefon bimbit dan menghantar setiap satu bab menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau diumumkan pemenang utama Hadiah Victoria untuk kesusasteraan itu, dalam satu majlis di Australia semalam.

Boochani ditempatkan di kem tahanan di Pulau Manus, Papua New Guinea itu sejak enam tahun lalu selepas bot yang dinaikinya karam ketika dalam perjalanan ke Australia.

Justeru, beliau berharap, kemenangan itu akan menarik perhatian masyarakat terhadap nasib lebih 1,000 penghuni kem tahanan yang terletak di luar pantai Australia berkenaan.

“Saya tidak bercadang untuk meraikan kejayaan ini, ketika saya menyaksikan ramai individu tidak bersalah berada di sekeliling saya,” kata Boochani kepada Reuters menerusi sistem pesanan teks.

Katanya, antara cabaran terbesar ketika menghasilkan buku berkenaan, adalah rasa bimbang kemungkinan telefonnya akan dirampas oleh pengawal keselamatan kem berkenaan.

“Saya bimbang jika mereka (pengawal) datang ke bilik saya dan mengambil barang milik saya,” katanya.

Sementara itu, buku itu ditulis dalam bahasa Parsi, sebelum dihantar kepada penterjemah menerusi sistem pesanan WhatsApp. - Reuters

Berita Harian X